CRISTIANO Ronaldo (kiri) membantu Edinson Cavani yang mengalami kecederaan. Foto EPA-EFE
AFP

EDINSON Cavani berharap akan cergas sepenuhnya apabila bertemu Perancis pada aksi suku akhir Piala Dunia selepas dikeluarkan ketika pasukannya mencatat kemenangan ke atas Portugal.

Penyerang Paris Saint German itu menyumbang kedua-dua gol ketika Uruguay mencatat kemenangan 2-1 di Sochi sebelum dilihat mengalami kecederaan betis.

“Pada satu ketika, saya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Saya harap dapat cergas sepenuhnya.

“Saya akan melakukan segala-galanya untuk memastikan dapat turun beraksi bersama rakan sepasukan yang lain.

“Ada rasa sakit sedikit tapi apapun sama-sama kita lihat perkembangannya selepas ini,” kata Cavani.

Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez berkata, beliau gusar dengan situasi Cavani.

Cavani dibantu ketua pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo ketika keluar padang sebelum digantikan dengan  Cristhian Stuani minit ke-74 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Fisht.

“Perlawanan seterusnya akan berlangsung lima hari lagi yang mana kami tidak mempunyai banyak masa. Secara jujurnya kami berasa bimbang tetapi kami tidak tahu apa masalah sebenarnya,” kata Tabarez.

Cavani menanduk masuk hantaran Luis Suarez pada minit ketujuh sebelum meledak gol cantik minit ke-62 selepas Pepe menyamakan kedudukan untuk Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 12:12 PM