VERSTAPPEN menjuarai perlumbaan Formula Satu Grand Prix Austria. FOTO/AFP
AFP

SPIELBERG, Austria: Pemandu Red Bull, Max Verstappen menjuarai perlumbaan Formula Satu Grand Prix Austria ketika Lewis Hamilton gagal menamatkan perlumbaan buat kali pertama sejak 2016.

Keputusan di Litar Red Bull Ring yang dianggap gelanggang sendiri pasukan Red Bull itu turut menyaksikan pelumba Mercedes, Hamilton menyerahkan takhta pendahulu kepada pelumba Ferrari, Sebastian Vettel.

Seorang lagi pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen menamatkan perlumbaan di tangga kedua diikuti Vettel melengkapkan kedudukan podium sekali gus memimpin kejuaraan dengan kelebihan satu mata ke atas Hamilton.

Kegagalan Hamilton turut mengakhiri rekodnya yang mengharungi 33 perlumbaan berturut-turut dengan kutipan mata yang dilakukan sejak Oktober 2016.

Mercedes mendedahkan jenteranya mengalami kegagalan tekanan minyak dengan Hamilton ketika itu berada di kedudukan keempat.

Rakan sepasukan pelumba Britain itu, Valtteri Bottas lebih malang apabila terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal berikutan kegagalan kotak gear.

Ini juga kali pertama kedua-dua pelumba Mercedes gagal menamatkan perlumbaan sejak Verstappen memenangi perlumbaan sulungnya bersama Red Bull di GP Sepanyol pada 2016.

Bagi Red Bull, kemenangan di Red Bull Ring pula adalah yang pertama buat pasukan itu di gelanggang sendiri dan pertama buat pelumba kelahiran Belanda, Verstappen musim ini.

“Menakjubkan untuk menang bersama Red Bull di Red Bull Ring,” kata Verstappen yang mendapat sokongan lebih 20,000 ‘Tentera Jingga.’

Keputusan GP Austria

1. Max Verstappen (NED) Red Bull, 1 jam 21:56.024 saat

2. Kimi Raikkonen (FIN) Ferrari, +1.504s

3. Sebastian Vettel (GER) Ferrari, +3.181s

4. Romain Grosjean (FRA) Haas, +1 pusingan

5. Kevin Magnussen (DEN) Haas, +1 pusingan

6. Esteban Ocon (FRA) Sahara Force India, +1 pusingan

7. Sergio Perez (MEX) Sahara Force India, +1 pusingan

8. Fernando Alonso (ESP) McLaren, +1 pusingan

9. Charles Leclerc (MON) Alfa Romeo Sauber, +1 pusingan

10. Marcus Ericsson (SWE) Sauber, +1 pusingan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 1:43 AM