X
PENGURUS England, Gareth Southgate. FOTO EPA-EFE
PENGURUS England, Gareth Southgate. FOTO EPA-EFE
Reuters

MOSCOW: Kekalahan England 0-1 di tangan Belgium dalam aksi terakhir Kumpulan G Piala Dunia minggu lalu dianggap keputusan terbaik buat pasukan, kata bekas kapten Three Lions, Wayne Rooney.

Pengurus England, Gareth Southgate melakukan lapan pertukaran dalam perlawanan menentang Belgium dan pasukannya menamatkan pusingan pertama dengan berada di tangga kedua kumpulan sekali gus memberi laluan lebih mudah buat mereka.

“Secara peribadinya, ia satu keputusan yang tepat,” kata Rooney. “Bagi saya keputusan itu - saya boleh katakan sekarang, saya bukan pemain (England) - dan ia satu keputusan yang terbaik buat England.

“Dan mungkin ia menjadi masalah sejak 15, 20 tahun selaku sebuah negara; kami terlalu jujur. Kami berada di sana dan berkata, kami mahu memenangi kesemua perlawanan. Ini England. Seharusnya inilah yang perlu kami bermain.”

Keputusan Southgate untuk mengubah barisan pemain yang menewaskan Panama 6-1 dilakukan dengan media British mempunyai banyak pandangan berbeza.

“Apabila semua negara merencana kemaraan, saya pasti Gareth mungkin seakan mahu mengekalkan momentum tetapi kadangkala kamu perlu membuat langkah ke belakang untuk mara. Saya percaya ia adalah keputusan yang tepat,” kata Rooney.

Rooney, 32, yang kini melengkapkan pemindahannya ke Major League Soccer (MLS) bersama kelab DC United dari Everton minggu lalu adalah pemegang rekod penjaring sepanjang zaman England dengan 53 gol sebelum mengumumkan persaraannya daripada skuad kebangsaan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 9:40 PM