BINTANG Real Madrid, Cristiano Ronaldo dikhabarkan sedang mencari rumah di Turin. FOTO Reuters
AFP

MADRID: Juara Liga Itali, Juventus sudah membuat tawaran sebanyak AS$11.6 juta (RM452 juta) untuk mendapatkan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, menurut beberapa laporan media.

Pemain berusia 33 tahun itu yang gagal membawa Portugal melepasi pusingan kedua Piala Dunia selepas tumpas kepada Uruguay Sabtu lalu, memberi bayangan selepas perlawanan akhir Liga Juara-Juara Mei lalu, bahawa dia menimbang untuk meninggalkan Santiago Bernabeu.

Akhbar harian sukan Sepanyol, Marca melaporkan Ronaldo sedang mencari rumah di Turin, selepas akhbar Itali sebelum itu melaporkan Juventus sudah membuat tawaran kepada pemain berkenaan.

Ronaldo yang lima kali memenangi anugerah Ballon d'Or, adalah pemegang rekod penjaring terbanyak Real dengan 450 gol dan diberi penghormatan oleh penyokong Juventus musim lalu selepas melakukan jaringan akrobatik dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara.

Rabu lalu, Real Madrid mengeluarkan kenyataan rasmi dalam laman web mereka menafikan laporan sudah membida untuk rekod dunia bagi mendapatkan pemain remaja Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, selepas pemain berusia 19 tahun itu mempamerkan aksi terpuji ketika menumpaskan Argentina.

"Real Madrid tidak membuat sebarang tawaran kepada PSG atau pemain dan mengutuk sekeras-kerasnya maklumat yang tidak mempunyai bukti kukuh," kata juara Liga Juara-Juara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 3:30 AM