NEYMAR
Agensi

MADRID: Gergasi Sepanyol, Real Madrid mengeluarkan kenyataan yang menegaskan mereka ‘tiada rancangan’ untuk mendapatkan bintang Paris Saint-Germain (PSG) Neymar.

Juara Eropah itu dikaitkan dengan penyerang Brazil berusia 26 tahun itu bagi menggantikan Cristiano Ronaldo yang membuat kejutan menyertai Juventus dengan nilai AS$117 dolar (RM474.03 juta).

Neymar yang meledak dua gol di Russia dipercayai antara sasaran Real tetapi kelab itu bertindak menamatkan spekulasi apabila menjelaskan mereka tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai kepulangan semulanya ke La Liga.

“Berikutan maklumat yang konsisten mengaitkan pemain PSG, Neymar dengan kelab kami, Real Madrid mahu menjelaskan yang tiada rancangan untuk membuat tawaran terhadap pemain berkenaan,” kata kenyataan itu.

“Hubungan di antara dua kelab itu menakjubkan, jadi kerana itu, jika ada satu tahap yang menyaksikan Real Madrid menimbang untuk menandatangani pemain PSG, pertama sekali adalah untuk pergi ke kelabnya.”

Ini kali kedua Real mengeluarkan kenyataan untuk menafikan khabar angin membabitkan Neymar pada bulan ini selepas turut dikaitkan dengan perpindahan bernilai mega AS$360 juta dolar (RM1.45 billion).

Neymar menjadi pemain termahal dunia apabila PSG membawanya ke Paris dengan nilai mega AS$260 juta (RM1.05 billion) kurang 12 bulan lalu.

Sekali pun PSG melengkapkan kejuaraan domestik berganda musim lalu, Neymar dikhabarkan kecewa dengan kekalahan pasukannya di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Keputusan Real mengalih perhatiannya daripada Neymar dipercayai disebabkan oleh minat mereka terhadap tonggak Chelsea, Eden Hazard dengan Kylian Mbappe juga dianggap antara calon berpotensi mengisi kekosongan ditinggalkan Ronaldo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 11:45 AM