HODAK (gambar kecil) yakin kemampuan Croatia. FOTO/AFP
HODAK (gambar kecil) yakin kemampuan Croatia. FOTO/AFP
Ajitpal Singh


JURULATIH Bawah-19 negara Bojan Hodak berkata pencapian Croatia mara ke final Piala Dunia di Russia satu kejayaan besar buat negaranya.

“Dengan populasi lebih daripada empat juta, Croatia adalah sebuah negara miskin dan sukan adalah satu-satunya jalan keluar daripada kemiskinan,” kata Hodak, jurulatih kelahiran Zagreb yang kini berada di Indonesia bersama skuad remaja negara untuk Kejuaraan AFC bawah 19 (B-19) tahun negara.

“Kemudahan latihannya tidak sebaik negara Eropah lain tetapi remajanya melihat bola sepak sebagai pasport untuk beraksi di luar negara.

“Kejohanan peringkat remaja di Croatia amat kompetitif memandangkan semuanya mahu meraih kejayaan dan menyara kehidupan dangan bola sepak.

“Apa yang mereka mahukan adalah bermain untuk kelab terkemuka di Eropah.”

Hodak, 47, antara jurulatih asing terbaik di Asia Tenggara berkata pemain Croatia yang bakal menentang Perancis pada final begitu bermotivasi di Russia memandangkan mereka mahu mencapai sesuatu yang hebat untuk rakan dan keluarga di tanah air.

“Saya menghormati jurulatih Croatia Zlatko Dalic kerana berjaya menyatukan pemain daripada pelbagai latar belakang untuk Piala Dunia,” kata bekas jurulatih Kelantan dan Johor Darul Ta’zim.

“Bukan mudah untuk mengendalikan pemain bergaji besar di kelab mereka namun Dalic menjalankan tugasnya dengan baik bagi memastikan mereka bermain demi maruah.”

 Mengenai peluang Croatia menjuarai Piala Dunia, Hodak berkata: “Skuad Dalic perlu berwaspada dengan serangan balas Perancis.

“Croatia akan mendominasi penguasaan bola dan juga bahagian tengah tetapi bahaya timbul apabila mereka hilang bola. Mereka perlu pantas mendapatkannya dan kental di bahagian pertahanan.

“Croatia mempunyai peluang menjaringkan gol tetapi perlukan pertahanan yang mantap. Saya benar-benar berharap Croatia menjuarai Piala Dunia.”

 

 

ends

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 11:22 PM