KIERAN TRIPPIER
KIERAN TRIPPIER
Agensi

LONDON: Tottenham Hotspur dijangka menerima bidaan bernilai mega bagi pemainnya, Kieran Trippier dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid antara yang menunjukkan minat.

Sumber rapat kepada pemain pertahanan England itu mendedahkan dia mengetahui Real berminat mendapatkan khidmatnya.

Difahamkan prestasi baik Trippier di Piala Dunia Russia ketika membantu England mara ke separuh akhir menjadikannya antara sasaran utama kelab-kelab terbaik England dan Eropah.

Trippier, 27, tiba di Spurs dari Burnley dengan nilai hanya £3.5 juta pound (RM18.68 juta) pada 2015.

Begitupun, nilainya kini dikatakan £50 juta pound (RM266.90 juta) yang menjadi rekod perpindahan termahal buat pemain England.

Tottenham dipercayai akan berusaha keras untuk menolak tawaran buat pemain berkenaan yang menandatangani kontrak lanjutan selama lima tahun, musim panas lalu.

Pemain tengah England, Eric Dier berkata Trippier ketika ini boleh dianggap antara pertahanan terbaik dunia berdasarkan prestasi semasa.

Real sudah pun membelanjakan £31 juta (RM165.48 juta) bulan ini bagi mendapatkan pertahanan kanan Real Sociedad, Alvaro Odriozola dengan pemain kebangsaan Sepanyol, Dani Carvajal menjadi pilihan utama di posisi berkenaan.

Berbelanja besar bagi mendapatkan pemain pertahanan boleh dianggap sesuatu yang mengejutkan buat Real ketika ini kerana mereka memerlukan wang yang banyak untuk menggantikan bintangnya, Cristiano Ronaldo yang berpindah ke Juventus.

Ironinya, Trippier turut diwakili oleh Kumpulan Stellar, firma yang diketuai Jonathan Barnett yang menyaksikan perpindahan memecah rekod dunia Gareth Bale ke Real dari Tottenham menjadi kenyataan pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 7:54 PM
Digital NSTP Subscribe