MAURIZIO SARRI
Agensi

PERTH: Pengurus baru Chelsea, Maurizio Sarri menghadiahkan kemenangan pertama selepas jaringan awal Pedro membolehkan The Blues menewaskan Perth Glory 1-0 dalam aksi persahabatan di Australia, semalam.

Bekas penyerang Barcelona itu menolak bola masuk dari jarak dekat selepas mendapat hantaran pemain berusia 17 tahun, Callum Hudson-Odoi.

Hudson-Odoi salah seorang daripada tiga pemain remaja yang beraksi dalam perlawanan itu bersama penjaga gol dari Poland, Marcin Bulka, 18, dan pertahanan Wales, Ethan Ampadu, 17.

Pemain tengah baru dibeli, Jorginho turut melakukan penampilan pertama menentang kelab Liga A-Australia itu. Jorginho dibeli daripada Napoli dengan harga £50 juta (RM266 juta) dan pemain Itali itu mempamerkan prestasi mantap dalam perlawanan pertama pramusim Chelsea.

David Luiz dilayangkan kad kuning selepas melakukan terjahan keras pada lewat babak pertama sebelum voli Pedro diselamatkan penjaga gol tuan rumah.

Sarri yang menggantikan rakan senegara dari Itali, Antonio Conte pada awal bulan lalu mengakui Chelsea perlu memperbaiki beberapa aspek permainan sebelum bermula musim baharu.

"Kami hilang kawalan dan jarak di antara pertahanan dan tengah dan itu perlu diperbaiki,” katanya selepas tamat perlawanan.

"Kami perlu kembali ke Cobham, bekerja lebih keras dan masalah itu perlu diatasi secepat mungkin. Bagaimanapun ia tidak mudah kerana skuad kini tanpa 12 pemain yang beraksi di Piala Dunia.”

"Minggu yang sukar dengan tempoh penerbangan yang panjang tetapi saya yakin pada penghujung minggu ini, ia akan kembali sedia kala. Dalam perlawanan tadi, kami beraksi baik untuk tempoh 60 minit pertama.

Chelsea akan menuju ke Perancis untuk menentang Inter Milan di Nice dalam aksi Kejohanan Piala Antarabangsa pada Sabtu ini sebelum menentang Arsenal di Dublin pada 1 Ogos dalam kejohanan sama.

Selepas menentang Manchester City dalam aksi Community Shield di Wembley pada 5 Ogos, skuad Sarri menerima kunjungan Lyon dalam Kejohanan Piala Antrabangsa di Stamford Bridge pada 7 Ogos sebelum menentang Huddersfield dalam aksi pembukaan Liga Perdana pada 11 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 3:50 PM