UNAI EMERY
Reuters

SINGAPURA: Pengurus baru Arsenal, Unai Emery berkata, dia menghormati keputusan pemain tengah Jerman, Mesut Ozil untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa ekoran dakwaan kritikan berbaur perkauman dan tidak menghormatinya hanya kerana dia mempunyai darah Turki.

Ozil teruk menjadi sasaran kritikan selepas kempen mengecewakan Jerman di Piala Dunia lalu selain pertemuannya dengan presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Mei lalu.

Ozil dan rakan sepasukan, Ilkay Gundogan yang juga berketurunan Turki diejek penyokong Jerman ketika sesi pemanas badan sebelum Piala Dunia berlangsung.

Erdogan pula menyelar layanan diberikan terhadap Ozil dan menyifatkannya berunsur perkauman dan tidak boleh diterima.

Keputusan pemain berusia 29 tahun itu menimbulkan perdebatan hangat di Jerman berkaitan hubungannya dengan komuniti imigran terbesar di negara itu.

“Itu adalah keputusan peribadi dan saya menghormatinya,” kata Emery kepada wartawan sehari sebelum Arsenal menentang Atletico Madrid dalam aksi pramusim Piala Juara Antarabangsa.

Emery yang dilantik menggantikan Arsene Wenger selepas 22 tahun mengendalikan Gunners berkata, Ozil seperti berada di rumah sendiri di Arsenal.

“Arsenal seperti rumahnya sendiri. Kami seperti keluarga dan akan terus membantunya berasa selesa,” kata Emery.

Ozil sehingga kini belum memberi sebarang kenyataan sejak tiba di Singapura bersama Arsenal, kelmarin. Pasukan itu akan menentang Paris Saint-Germain Sabtu ini dalam kejohanan pemanas badan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 2:31 PM