PEMAIN Aberdeen Scott Wright (kiri) melepaskan diri daripada pemain Burnley. FOTO/REUTERS
PEMAIN Aberdeen Scott Wright (kiri) melepaskan diri daripada pemain Burnley. FOTO/REUTERS
Reuters

ABERDEEN: Keinginan serta organisasi membolehkan Burnley kembali ke bola sepak Eropah selepas 51 tahun dan kualiti yang ada pada pasukan itu menyaksikan mereka seri 1-1 ketika menentang Aberdeen pada pusingan kedua kempen kelayakan, awal pagi tadi.

Keputusan itu yang sekali gus menjadi modal jaringan di tempat lawan, membolehkan skuad Liga Perdana kendalian Sean Dyche itu kelebihan menjelang perlawanan kedua di Turf Moor minggu depan tetapi bagi penyokong yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk menyaksikan pertemuan itu, ia lebih daripada sekadar angka semata-mata.

Lebih 2,000 penyokong setia Burnley mengharungi perjalanan 330 batu dari Lancashire ke Pantai Timur Scotland untuk memenuhi petak pelawat sambil ramai lagi yang tidak memiliki tiket, menyaksikan perlawanan menerusi layar serta televisyen di bar.

Aksi antara pasukan Scotland dan Inggeris sering dilabel sebagai ‘Peperangan Britain’ dengan kedua-dua pasukan mahu mencipta kejutan.

Bagaimanapun, jika dilihat kepada sejarah Burnley sejak sedekad lalu dalam aksi Eropah - Piala Fairs 1967 - laluan mereka sering disekat kelab Scotland.

Catatan itu sering dijadikan rujukan sebelum perlawanan hinggalah semua penyokong bertafakur seketika bagi mengingati mendiang bekas pemain tengah Aberdeen, Neale Cooper yang meninggal dunia Mei lalu pada usia 54 tahun.

Cooper adalah antara pemain yang memenangi Piala Pemenang Piala Eropah pada 1983 ketika pasukan itu dibimbing Alex Ferguson.

Ketika mereka meraikan kejayaan dalam pasukan yang turut dibarisi Gordon Strachan dan Alex McLeish, Burnley pula berdepan penyingkiran ke divisyen tiga sebelum turun ke divisyen empat, dua tahun kemudian.

Pada 1987, Burnley perlu menang pada aksi terakhir musim bagi mengelak daripada terus tersingkir ke liga lebih rendah dan bayangkan bagaimana mereka merangkak untuk kembali berada di Liga Perdana.

Skuad Clarets menamatkan musim lalu di tangga ketujuh Liga Perdana dan layak bertanding di Eropah dan itulah yang menjadi kebanggaan penyokong mereka.

Baju-t yang memaparkan perkataan Jelajah Eropah semakin banyak dijual di luar Pittodrie tetapi bagi Dyche, jadual yang semakin padat sedikit menekannya.

Burnley masih belum membawa masuk pemain baru sambil beberapa anak buahnya masih lagi belum cergas sepenuhnya akibat kecederaan musim lalu sekali gus membuatkan Dyche tidak memiliki banyak pilihan.

Tetapi kekurangan yang ada dalam skuad Burnley sudah cukup untuk menggerunkan kelab Scotland itu apatah lagi selepas ini mereka akan beraksi di tempat lawan dengan kelebihan sudah tentu milik Dyche. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 9:54 AM