BEKAS pengurus pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian. FOTO Abdullah Yusof
Azizan Hashim
sukanteam@nstp.com.my


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Adly Shah Ahmad Tah dilantik sebagai pengurus baharu skuad Liga Super menggantikan Ahmad Shahrul Azhar Sofian mulai hari ini.

Pelantikan itu disahkan oleh Presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, ketika diminta mengulas mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan peminat skuad Perak itu.

Hasnul Zulkarnain juga mengumumkan pelantikan Naib Presiden III PAFA, Datuk G Irudianathan selaku penolong pengurus pasukan berkenaan.

“Ya, kita sudah buat pelantikan baharu bagi posisi pengurus skuad Liga Super Perak iaitu Adly menggantikan Ahmad Shahrul dan juga Irudianathan selaku penolong pengurus.

“Pelantikan ini adalah sepanjang saingan Piala Malaysia yang akan bermula Sabtu ini apabila skuad Seladang menentang FELCRA FC di Stadium Perak,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hasnul berkata, pelantikan berkenaan berkuatkuasa hari ini dan akan berterusan hingga ke akhir musim.

Hasnul Zulkarnain berkata demikian sebagai mengulas surat daripada PAFA kepada bekas pemain kebangsaan itu yang bertarikh 30 Julai mengenai penamatan tugasannya selaku pengurus Liga Super.

Ironinya, pelantikan itu ibarat satu percubaan kerana menurut Presiden PAFA itu, mereka akan melihat sejauh mana pencapaian pasukan terutama pengurus serta penolong pengurus yang baharu dilantik di sepanjang kempen Piala Malaysia kali ini.

Katanya, penilaian akan dibuat berdasarkan kepada prestasi pasukan dalam saingan piala yang menjadi lambang keagungan bola sepak negara itu.

“Kita ingin melihat pencapaian mereka dalam Piala Malaysia musim ini. Kalau tunjuk komitmen bagus dan pasukan boleh pergi jauh, mungkin khidmat mereka akan kita kekalkan.

“Apa pun, kita ingin melihat perlawanan pertama dengan FELCRA FC dahulu macam mana. Kalau perlu mungkin kita akan adakan sidang media kemudian,” katanya.

Tindakan itu menimbulkan reaksi dalam kalangan penyokong khususnya peminat setia bekas kapten Perak itu yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

Awal minggu ini, PAFA menamatkan perkhidmatan Ahmad Shahrul selaku setiausaha persatuan itu dan melantik Naib Presiden II, Abd Aziz Yeop Jamaluddin ke jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 9:18 PM