AKSI pasukan Burnley ketika menentang Aberdeen dalam kelayakan Liga Europa. Foto REUTERS
AKSI pasukan Burnley ketika menentang Aberdeen dalam kelayakan Liga Europa. Foto REUTERS
Reuters 

BURNLEY mara ke pusingan ketiga kelayakan Liga Europa selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Aberdeen dalam aksi kedua yang berlangsung di Turf Moor, hari ini.

Ia adalah kemenangan cukup penting selepas kedua-dua pasukan sekadar terikat 1-1 pada aksi pertama, minggu lalu sekali gus menyaksikan wakil England itu mara dengan agregat 4-2.

Pengurus Burnley, Sean Dyche bagaimanapun menegaskan ujian lebih getir bakal menanti anak buahnya dalam fasa berikutnya dengan beliau mahu membawa masuk beberapa muka baharu bagi memperkuatkan pasukan.

Antara pemain yang berada dalam radar pasukan ialah penyerang West Bromwich Albion, Jay Rodriguez, pemain serba boleh Swansea City, Sam Clucas dan tonggak pertahanan Middlesbrough, Ben Gibson.

Jelas Dyche, dana yang agak besar diperlukan oleh kelab untuk membawa nama-nama besar bagi membantu pasukan kekal sebagai pencabar di Liga Perdana Inggeris (EPL) selain mahu mara sejauh mungkin dalam saingan Liga Europa musim ini. 

Burnley dijadual akan terbang ke Turki untuk berdepan Istanbul Basaksehir dalam aksi kelayakan berikutnya dan sekiranya menang, mereka akan mara ke peringkat kumpulan buat pertama kalinya dalam tempoh 51 tahun.

“Kami sentiasa berusaha keras untuk memajukan pasukan dalam setiap pertandingan disertai. Walaupun ketika ini kami sudah memiliki skuad mantap, namun kehadiran beberapa tonggak berpengalaman amat perlu bagi memperkukuhkan pasukan.

“Kami sedar bukan mudah mendapatkan mereka, tetapi kami akan berusaha untuk memastikan cabaran pasukan lebih baik daripada musim lalu,” katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 9:41 AM