AKSI perlawanan antara Celtic dan AEK Athens. Foto Reuters
AFP

JUARA Scotland, Celtic gagal memanfaatkan kelebihan beraksi lebih seorang pemain apabila diikat AEK Athens 1-1 di laman sendiri, sekali gus dinafikan kelebihan menjelang aksi timbal balik pusingan kelayakan ketiga Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Celtic bermula baik apabila Callum McGregor meledak gol pembukaan buat skuad kendalian Brendan Rodgers itu pada minit ke-17.

Tetapi mereka gagal mengekalkan kelebihan dan dihukum atas atas satu kesilapan yang menyaksikan pemain Belgium, Viktor Klonaridis menjaringkan gol penting buat AEK sebelum rehat babak pertama.

AEK yang menamatkan deretan kejuaraan Olympiakos selama tujuh tahun selaku juara Greece musim lalu memainkan corak bertahan pada babak kedua apabila pemain mereka, Kostas Galanopoulos diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-57.

Di sebalik penguasaan bola, Celtic bergelut untuk mencipta peluang dengan cubaan Olivier Ntcham pada masa kecederaan hampir memberikan mereka kemenangan, tetapi ia sedikit tersasar.

Kedua-dua pasukan dijadual bertemu lagi pada awal pagi Rabu depan dengan pemenang akan menentang juara Sweden, Malmo atau kelab Hungary, Vidi di pusingan playoff untuk beraksi di peringkat kumpulan.

“Kami sedar mereka adalah pasukan yang baik tetapi kami membuktikan yang kami juga pasukan yang baik dan boleh pergi ke sana dan mendapatkan keputusan,” kata Rodgers.

“Kami boleh menjaringkan gol di sana, saya tidak fikir yang ia satu persoalan. Kami juga perlu bertahan dengan baik.

“Ia sentiasa menjadi perlawanan yang sukar buat kami, mendahului 1-0 atau 1-1, kami sentiasa berfikir yang kami perlu pergi ke sana dan menjaringkan gol.”

Ia jelas malam yang baik buat pasukan dari Greece apabila satu lagi wakil mereka, PAOK bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menang 3-2 ke atas gergasi Russia, Spartak Moscow.

Pasukan yang beraksi di separuh akhir Liga Europa musim lalu, Red Bull Salzburg turut menghampiri saingan peringkat kumpulan buat pertama kali selepas menang 3-0 ke atas juara Macedonia,  Shkendija.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 8:33 AM