JURULATIH Pasukan PDRM, Mohd Fauzi Pilus. Foto ARKIB NSTP
Nazri Abu Bakar


PDRM berusaha bangkit untuk mempersembahkan kualiti permainan lebih mantap menjelang pertemuan kedua saingan kumpulan B, Piala Malaysia berdepan FELDA United di Stadium Hang Jebat, Ahad ini.

Selepas kecundang 2-5 kepada PKNS FC pada aksi pembukaan minggu lalu, skuad itu menjanjikan aksi lebih cemerlang untuk meraih kemenangan berdepan The Fighters.

Walaupun menyedari FELDA adalah pasukan pilihan, namun jurulatih The Cops, Mohd Fauzi Pilus masih optimis pasukannya mampu memberi cabaran dan melakukan kejutan.

"Peluang ke suku akhir masih terbuka berikutan kami masih memiliki lima perlawanan. Namun, apa yang penting kami tidak boleh terlepas sebarang mata bermula aksi bertemu FELDA di laman sendiri.

"Sehubungan itu, persembahan lebih efektif dituntut kepada semua pemain untuk membentuk gandingan lebih jitu dan jadikan kekalahan kepada PKNS sebagai pengajaran berharga," katanya.

Katanya, aspek pertahanan lebih kukuh menjadi fokusnya sepanjang sesi latihan selain meningkatkan gerakan berkesan di bahagian tengah dan serangan.

Namun, katanya, pemain juga diingat untuk sentiasa fokus dan tidak mengulangi kesilapan mudah yang akhirnya membawa padah seperti ketika berdepan PKNS.

"Pemain jangan menghormati lawan, beraksi seperti biasa dan berusaha untuk mencari jaringan awal. Gol itu penting untuk meningkatkan motivasi pemain,” katanya.

Setakat ini, tidak banyak perubahan dilakukan The Cops, dan harapan kini disandarkan kepada pemain import Romania, Petrisor Voinea untuk mencipta jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 2:10 PM