PEMAIN JDT meraikan jaringan pertama Fernando Marquez (tengah) ketika bertemu Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin. -Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my


 

 

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali menemui rentak kemenangan selepas membelasah Kedah 5-1 pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Walaupun skuad Harimau Selatan dikejutkan dengan pertukaran kejurulatihan di mana Benjamin Mora mengambil alih tugas Raul Longhi yang diketepikan, ia tidak menjejaskan semangat pemain yang bersungguh-sungguh memburu kemenangan pertama.

Malah Mora yang baru membimbing pasukan itu sejak Selasa lalu berjaya membentuk taktikal ampuh untuk memastikan ia bermula dengan langkah kanan bagi memadamkan kedukaan selepas dipalit kekalahan 2-1 kepada MIFA dalam saingan piala berprestij itu baru-baru ini. 

Tuan rumah melakukan percubaan seawal minit kelima menerusi Gonzalo Cabrera yang merembat kencang bola dari luar kotak penalti namun terus ke dakapan penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Gol pembukaan JDT hadir selepas sepakan lintang Corbin Ong pada minit ke-12 ditanduk Fernando Marquez ke penjuru kanan gawang Kedah menewaskan Mohamad Ramdhan.

Marquez hampir meledak gol kedua peribadi selang tiga minit kemudian namun bola hantaran Cabrera, yang berjaya menggelecek tiga pemain Kedah, sekadar melewati palang gol ketika Mohamad Ramdhan sudah tertewas.

Bagaimanapun kesilapan Natxo Insa yang tertendang bola ke belakang pada minit ke-34 membuka peluang buat Sandro Da Silva untuk menyambar bola sebelum merembat kencang menewaskan Farizal Marlias bagi menyamakan jaringan buat pelawat.

Bersambung babak kedua, tuan rumah kembali mendahului pelawat pada minit ke-46 selepas bola hantaran Nazmi Faiz Mansor dimanfaatkan Insa.

Selepas bertungkus untuk memburu gol akhirnya Ahmad Hazwan Bakri menemui sentuhan penyudah menerusi sepakan percuma pada minit ke-71.

Pada minit ke-81,  Cabrera menambah jaringan tuan rumah dan pemain gantian S Kunanlan turut tidak mensia-siakan peluang dalam masa kecederanan untuk menjaringkan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 12:01 AM