PIQUE letih dengan kritikan penyokong. FOTO/REUTERS
Reuters

 

BARCELONA: Pertahanan Barcelona Gerard Pique mengesahkan dia tidak akan menyertai skuad kebangsaan Sepanyol, biarpun bekas jurulatih Barca Luis Enrique kini dilantik sebagai jurulatih.

Pique meluahkan hasratnya untuk melupakan aksi antarabangsa selepas Piala Dunia 2018 susulan perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Albania pada Oktober 2016, menegaskan dia sudah letih dengan kritikan berterusan penyokong dan media dan mahukan ketenangan.

Pertahanan kelahiran Barcelona yang lantang bersuara itu tidak pernah senada dengan penyokong Sepanyol berbanding rakan sepasukannya, dan sering diejek ketika perlawanan kerana mengecam Real Madrid dan menyokong referendum kemerdekaan Catalan.

Pique, 31, tidak mengesahkan mahu meninggalkan skuad antarabangsa sebaik Sepanyol tersingkir di tangan tuan rumah Russia pada aksi 16 terakhir Piala Duina tetapi sudah pun memberitahu Enrique yang menggantikan Julen Lopetegui sebagai jurulatih kebangsaan bulan lalu bahawa dia tidak akan kembali menyertai pasukan.

"Saya bercakap dengan Luis Enrique beberapa hari lalu. Beliau memanggil saya dan saya memberitahunya bahawa keputusan itu diambil lama dahulu dan saya sudah memikirkannnya masak-masak,” kata pertahanan itu pada sidang media hari ini menjelang aksi Piala Super Sepanyol menentang Sevilla.

“Ia saat yang indah dapat bersama pasukan kebangsaan di mana saya berpeluang menjulang Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah. Kini saya hanya mahu fokus terhadap Barca,” katanya.

“Saya mempunyai baki beberapa tahun di sini dan saya mahu menikmatinya sebaik mungkin.”

Pique beraksi 102 kali mewakili Sepanyol dan mewakili negaranya dalam dua edisi Kejuaraan Eropah dan tiga Piala Dunia, membantu negaranya menjulang kejuaraan dunia pertama pada 2010 dan Euro 2012 dua tahun kemudian. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 12:40 PM