DENIS CHERYSHEV
AFP

MADRID: Bintang Russia, Denis Cheryshev yang tampil dengan prestasi mengagumkan di Piala Dunia 2018 kembali ke Valencia buat kali kedua selaku pemain pinjaman dari Villarreal.

Pemain sayap berusia 27 tahun itu yang meledak empat gol ketika membantu Russia mara ke suku akhir di laman sendiri akan menyertai Valencia dalam tempoh semusim selepas menghabiskan enam bulan di Mestalla pada 2016.

Cheryshev berhijrah ke Sepanyol ketika kanak-kanak dan menyinar menerusi akademi Real Madrid sebelum menyertai Villarreal dengan perjanjian selama lima tahun pada 2016 selepas beberapa siri pinjaman.

Dia akan kembali bergandingan dengan jurulatih Valencia, Marcelino yang pernah melatihnya di Villarreal pada musim 2014-15.

Cheryshev memberikan satu lagi pilihan di bahagian serangan kepada kelab itu yang turut membawa masuk pemain Chelsea, Michy Batshuayi, secara pinjaman dan bekas penyerang Atletico Madrid, Kevin Gameiro pada jendela perpindahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 12:00 AM