PEMAIN TFC (jersi hitam) ketika beraksi menentang Perak dalam saingan Piala Malaysia Kumpulan A. FOTO/FAIL
Malik Muhamad


KELAB Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) mengharapkan skuad kesayangan mereka, Terengganu FC (TFC) tidak kena 'tembak' di gelanggang sendiri  ketika bertemu FELCRA FC pada Sabtu ini selepas cemerlang dalam dua aksi terdahulu dalam saingan Piala Malaysia Kumpulan A.

Sebaliknya kemenangan kali ketiga berturut-turut ditagih kelab tertua itu untuk menumbangkan naib juara Liga Perdana musim ini dalam misi mengintai peluang lebih awal melangkah ke peringkat suku akhir saingan piala berprestij itu.

Presidennya, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, strategi mantap dan taktikal berkesan daripada barisan jurulatih sebagaimana yang dipamerkan pemain dalam dua aksi terdahulu juga turut diharapkan peminat setia bagi memastikan momentum kemenangan dapat dikekalkan dalam perlawanan pertama di gelanggang sendiri saingan Piala Malaysia itu.

“Kejayaan meraih dua kemenangan berturut-turut di tempat lawan bukan satu tugas yang mudah buat pemain kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu, lebih-lebih lagi merekod jaringan terbesar setakat ini dengan sembilan gol dalam dua perlawanan itu yang boleh kami sifatkan sesuatu yang luar biasa  dan suntikan moral yang tinggi.

“Selain itu semangat kental dan melawan yang diperagakan pemain skuad yang mendapat julukan Peteh Terengganu Peteh itu juga harus dipuji dan ditambah pula keberkesanan dan kewibawaan barisan jurulatih yang diketuai Irfan Bakti.

“Namun sebagai peminat setia, kami mahu lebih daripada itu dan tidak rela skuad Penyu itu 'rebah' serta dimalukan di tempat sendiri apatah lagi selepas garang menumbangkan naib juara Liga Super musim ini, Perak dan sebelum itu membelasah skuad Kuala Lumpur,” kata Dr Najmil Faiz.

Dalam aksi pertama skuad Penyu berjaya mencipta kemenangan terbesar musim ini selepas mudah meratah skuad Warga Kota 5-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras dan diikuti kemenangan tipis menundukkan Perak 4-3 di Stadium Perak, Ipoh.  

Mengulas lanjut, Dr Najmil turut mempelawa lebih ramai lagi peminat setia skuad itu membanjiri stadium bagi menyuntik semangat pemain untuk beraksi lebih baik menentang pendatang baharu Liga Super musim depan itu.

“Secara jujur kami kurang berpuas hati dengan kehadiran penonton ke stadium setakat ini, justeru kejayaan skuad TFC melakar dua kemenangan sebelum ini juga seharusnya membakar semangat peminat untuk hadir ke stadium untuk memberi sokongan, namun kena ingat jangan sesekali timbulkan kontroversi sebaliknya menyokong dengan penuh semangat kesukanan,” kata Dr Najmil.

Awal musim ini PETEH menyambut baik `DNA’ skuad TFC dan Terengganu FC II (TFC II), namun kegagalan barisan pemain skuad TFC II mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Perdana musim depan mengecewakan kelab itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 11:58 AM