HUGO LLORIS
AFP

LONDON: Kapten Perancis di Piala Dunia Hugo Lloris didakwa kerana memandu dalam keadaan mabuk apabila penjaga gol Tottenham itu ditahan polis pada hari ini.

Lloris ditahan dalam sekatan jalan raya Gloucester Place, bahagian tengah London pada jam 2.20 pagi waktu tempatan.

Penjaga gol berusia 31 tahun itu dikatakan gagal dalam ujian pernafasan dan dilepaskan dengan ikat jamin untuk pendakwaan di mahkamah majistret Westminister bulan depan.

“Seorang lelaki ditahan susulan sekatan jalan raya di Gloucester Place, W1," kata jurucakap Metropolitan Police.

“Hugo Lloris,31, dari Timur Finchley ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk pada Jumaat, 24 Ogos.

“Dia diikat jamin untuk pendakwaan di mahkamah majistret Westminister pada Selasa, 11 September.”

Selepas memimpin Perancis menjulang Piala Dunia di Russia pada Julai, Lloris kembali ke aksi domestik bersama Tottenham.

Dia diturunkan dalam  dua perlawanan awal Liga Perdana Inggeris ketika skuad Mauricio Pochettino itu menewaskan Newcastle dan Fulham.

Lloris dijangka beraksi buat Tottenham dalam aksi liga menentang Manchester United awal pagi Selasa.

Dia menyertai Tottenham dari Lyon pada 2012, dengan 256 penampilan buat kelab London utara itu.  

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 10:55 PM