PEMAIN Melaka United meraikan jaringan pada aksi Piala Malaysia menentang PDRM di Stadium Hang Jebat, Krubong. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nazri Abu Bakar


MELAKA United (MU) membuka semula peluang mereka ke suku akhir Piala Malaysia selepas membenam PDRM 6-1 di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Tampil berbeza berbanding hanya seri 2 2 dengan lawan sama minggu lalu MU berjaya menguasai 45 minit babak pertama dan kedua menerusi gerakan menarik untuk meraih mata maksimum.

Malah mereka tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi sepakan penalti  Olusegun Ifedayo seawal minit ke-11 selepas Yahor Zubovich dijatuhkan pertahanan The Cops.

Selang dua minit selepas  itu Shahrul Azwari merembat kencang gol kedua pada m-13 selepas menerima hantaran Azmi Muslim untuk selesa mendahului dua gol pada awal babak permainan.

PDRM yang turut berusaha mencipta kemenangan untuk menghidupkan peluang ke suku akhir bagaimanapun terus dikejutkan selepas Syahrul Azwari meledak gol ketiga pasukannya (m-45)  dari jarak 25 meter untuk selesa ke bilik persalinan.

Peluang terbaik buat The Cops mencipta jaringan hadir menerusi sepakan kencang Shunsuke Nakatake (m-46 ) namun diselamatkan penjaga gol  Khairul Fahmi Che Mat.

Namun malang berganda buat The Cops yang terpaksa beraksi dengan 9 pemain selepas dua pemainnya Hazwan Fakrullah dan Khairul Izuan  mengutip kad merah pada minit ke -47 dan 51.

Padahnya gawang PDRM  lebih mudah dibocori dengan jaringan Shahdan Sulaiman m-52 dan Zubovich pada m-56 dan m-70 selepas anak buah jurulatih Mohd Fauzi Pilus lebih banyak bertahan.

Walaupun beraksi penuh kesukaran dengan kekurangan dua pemain namun PDRM berjaya mencipta jaringan saguhati menerusi Nabil Lafti  pada m-86 perlawanan.

Kemenangan selesa itu dilihat sebagai motivasi buat skuad Hang Tuah mengharungi dua baki aksi berdepan PKNS dan FELDA United untuk memenuhi misi mereka mara ke suku akhir musim ini.

Sementara kekalahan The Cops menutup peluang mereka ke suku akhir selepas meraih satu mata daripada empat perlawanan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 11:29 PM