KETUA jurulatih MIFA, K. Devan. FOTO Owee Ah Chun
Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Aksi berdepan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat ini bakal menjadi penentu buat MIFA, sama ada mampu menempah tiket awal ke suku akhir Piala Malaysia atau sebaliknya.

Skuad kendalian K Devan itu wajib meraih kemenangan ke atas The Red Warriors (TRW) untuk mencipta sejarah baharu kelab mara ke suku akhir Piala Malaysia buat kali pertama.

Namun, mereka bakal berdepan tugas berat apabila bertandang ke Kota Bharu tanpa dua tonggak utama - Syedi L’Iman dan Kpah Sherman.

L’Iman tidak dapat diturunkan kerana perjanjian dengan Kelantan sementara Sherman pula berdepan penggantungan selepas dilayangkan kad merah ketika berdepan Kedah, kelmarin.

Devan menjelaskan dia perlu merencana strategi terbaik bagi menampung kekosongan yang ditinggalkan dua tonggak itu.

“Kami akan membentuk strategi permainan untuk ke Kota Bharu dan saya fikir kami tidak boleh berputus asa walaupun tanpa dua tonggak utama,” kata Devan.

“Selepas empat perlawanan kami masih di kedudukan teratas Kumpulan C dan kami akan meneruskan pertarungan. Hanya tinggal dua perlawanan, jadi kami akan cuba dapatkan satu kemenangan untuk ke suku akhir.

“Tapi jika anda berada di kedudukan teratas selepas empat perlawanan dan tidak layak ke suku akhir, ia akan menjadi satu kerugian besar.”

Pada aksi pusingan pertama peringkat kumpulan, MIFA berjaya menundukkan Kelantan 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, 10 Ogos lalu.

MIFA kini memimpin kumpulan dengan tujuh mata, satu mata di depan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menghuni tangga kedua.

Kedah pula di kedudukan ketiga selepas mengumpul lima mata, sementara Kelantan yang memiliki empat mata di kedudukan tercorot.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 7:36 PM