JURULATIH Jerman, Joachim Loew. FOTO EPA

MUNICH: Joachim Loew menafikan tuduhan perkauman Mesut Ozil terhadap Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) ketika ketua jurulatih Jerman itu memberikan pendapatnya terhadap isu berkenaan.

“Ozil mendakwa tuduhan perkauman tetapi saya jelas berasakan di dalam DFB tiada langsung komen berunsur rasis,” kata Loew ketika mengumumkan barisan pemainnya untuk pertemuan dengan juara dunia, Perancis di Munich 6 September ini sebelum kemudian bertemu Peru tiga hari selepas itu.

“Pemain yang berasal dari luar Jerman sentiasa seronok beraksi bersama kami dan tiada apa yang berubah.”

Ozil yang beraksi bersama Arsenal bersara daripada pentas bola sepak antarabangsa pada 22 Julai lalu.

Dia menyatakan pendiriannya itu menerusi kenyataan media yang antaranya menuduh Presiden DFB,  Reinhard Grindel seorang yang rasis.

Ini adalah kali pertama Loew memberi komen mengenai isu Ozil.

“Pemain itu sendiri tidak menghhubungi saya. Malah saya sendiri gagal untuk menghubunginya.

“Saya percaya masih ada ruang perbincangan. Dia memilh untuk bersara maka saya perlu menghormati keputusannya itu,” katanya.

Ozil dan Ilkay Gundogan yang kedua-duanya lahir di Jerman tetapi mempunyai keturunan Turki, mencetuskan kekecohan sebelum saingan Piala Dunia apabila bertemu Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sekali gus mencetuskan persoalan kesetiaan kedua-dua pemain itu terhadap Jerman. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 1:07 AM