TAN Cheng Hoe. Foto ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


TAN Cheng Hoe meminta semua pihak memberi kepercayaan penuh kepada barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya dalam usaha membentuk sebuah pasukan berwibawa terutama bagi menghadapi saingan Piala AFF, November ini, meskipun tidak dibarisi pemain berdarah kacukan atau berstatus naturalisasi.  

Beliau yang dilantik mengisi kerusi panas itu bagi menggantikan Nelo Vingada penghujung tahun lalu berkata, biarpun ketika ini ramai pihak mempertikaikan senarai 24 pemain dipanggil bagi sesi latihan pusat bermula Isnin ini, Cheng Hoe tetap tenang dan enggan terlalu memikirkan soal itu.

Sebaliknya, bekas pengendali Kedah itu mempunyai alasan tersendiri tidak menyenaraikan walau seorang pemain berdarah kacukan bagi diuji pada dua aksi persahabatan antarabangsa berkelas 'A' bertemu Taiwan di Taipei City, 7 September ini serta menentang Kemboja di Phnom Penh, tiga hari kemudian.

Melihatkan kepada senarai itu, pemain berdarah kacukan seperti Matthew Davies, Brendan Gan, Khair Jones, Natxo Insa, La'Vere Corbin-Ong, Kiko Insa, Junior Eldstal dan Darren Lok yang pernah membuat kemunculan bersama skuad kebangsaan, tidak disenaraikan kali ini.

Malah, nama Curran Ferns yang kini bermain di Thailand bersama Shukothai FC serta pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh turut tercicir.

Jelas Cheng Hoe, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira dengan beliau meletakkan asas paling penting pemain berkenaan harus sesuai dengan corak permainan yang ingin diterapkannya.

"Tidak semestinya pemain itu memiliki fizikal besar dan tinggi akan terpilih kerana kadang-kala ia tidak sesuai dengan cara kita bermain.

"Saya lebih gemar memilih pemain yang mempunyai taktikal dan kemahiran baik seperti pemain skuad bawah 23 tahun negara (B-23). Tapi kalau pemain itu mempunyai kedua-duanya itu satu bonus buat pasukan.

"Namun ingin saya tekankan, pemilihan pemain adalah berdasarkan prestasi semasa mereka bersama kelab dan negeri. Jika mempamerkan aksi terbaik, saya akan senaraikan mereka dalam aksi persahabatan Oktober nanti," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Selain berdepan Taiwan dan Kemboja, skuad negara juga akan mengharungi tiga aksi persahabatan berdepan Sri Lanka, Kyrgyzstan dan Maldives pada Oktober dan November nanti.

Beliau yang gemar mengamalkan corak permainan hantaran pendek mengakui gaya permainan mudah ala 'tiki-taka' akan dipraktikkan seperti mana ketika beliau membimbing Kedah sebelum ini.

"Ia itu cara kita bermain. Saya percaya dengan kelompok pemain yang dipanggil, mereka mampu mengadaptasi kaedah permainan yang kita mahu," katanya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 5:14 PM