PENYERANG Kelantan, Cristiano Santos (tengah) diasak beberapa pemain MISC-MIFA dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammad IV. Foto NSTP/ZAMAN HURI ISA
Hasbullah Ibrahim


KELANTAN gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan MIFA di Stadium Sultan Mohamad Ke IV, malam tadi.

Kelantan memperoleh peluang terbaik untuk berada di depan menerusi Cristiano Santos pada minit ke-11 dan minit ke-27 namun percubaannya sedikit tersasar walaupun penjaga gol MIFA, Muhaimin Mohamad sudah tertewas.

MIFA hampir mendahului pada minit ke-29 menerusi K Satish selepas kesilapan barisan pertahanan tuan rumah mengeluarkan bola dari kawasan penalti namun diselamatkan Faridzuean Kamaruddin. 

The Red Warriors (TRW) membuat beberapa percubaan berbahaya dari luar kawasan penalti pada minit ke-37 menerusi Nik Akif Syahiran dan minit ke-45, Nik Azli Nik Alias namun diselamatkan Muhaimin 

Bersambung babak kedua, Kelantan melancarkan serangan bagi mencari gol pendahuluan menerusi gandingan Santos dan Nik Azli namun gagal.

Pada minit ke-68, pemain tengah TRW, Nik Akif hampir menjaringkan gol pendahuluan namun Muhaimin  berjaya menepis keluar selepas bola terkena palang gol.

MIFA juga berpeluang mencetak gol pertama pada minit ke-76 menerusi Satish  namun Faridzuean berjaya menepis keluar. 

Pada minit ke-87 dan minit ke-90 pemain gantian Fakhrulzaman Zawawi hampir meletakkan TRW di depan namun diselamatkan Muhaimin  dan kedudukan 0-0 kekal hingga wisel penamat.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 12:20 AM