RONALDO (kanan) ketika melepasi pemain Parma. FOTO/EPA
AFP

MILAN: Cristiano Ronaldo gagal memecahkan kebuntuan dan masih mencari gol pertamanya dalam aksi Serie A buat Juventus namun pasukan juara Itali itu mengekalkan momentum apabila menang 2-1 menewaskan Parma menerusi jaringan yang dihasilkan bintang Piala Dunia, Mario Mandzukic dan Blaise Matuidi.

Matuidi yang membantu Perancis menjulang Piala Dunia meledakkan gol pada minit ke-58 selepas penyerang antarabangsa Croatia Mandzukic menghasilkan gol awal pada minit kedua di Emilia Romagna.

Bintang baru Parma, Gervinho yang kembali ke Itali selepas dua tahun bersama kelab dari China Hebei China Fortune, berjaya menjaring gol pada minit ke-33 buat tuan rumah yang kembali dalam saingan utama selepas tiga tahun berdepan dengan masalah muflis 2015.

Ronaldo masih belum berjaya menghasilkan gol namun juara bertahan tujuh kali itu kini meraih mata penuh selepas tiga perlawanan pembukaan musim ini.

Pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali berusia 33 tahun itu terlepas peluang untuk memecah kebuntuan pada minit ke-26 apabila tandukannya sedikit tersasar. Dia bagaimanapun mempunyai satu lagi peluang pada 10 minit terakhir di babak pertama namun gagal menyempurnakannya.

“Cristiano mempamerkan aksi terbaik dan dia sentiasa dalam keadaan bersedia namun masalahnya apabila bola tidak datang kepadanya dalam waktu yang tepat,” kata jurulatih Massimiliano Allegri.

“Saya gembira dengan apa yang dilakukannya. Selepas rehat (antarabangsa) dia pasti akan menemui sentuhan gol kerana kami semua akan berada dalam keadaan terbaik.”

Matuidi  berkata: “Dia (Ronaldo) dia menempuh perlawanan yang hebat tapi nasib masih belum memihak kepadanya. Dia mungkin sedikit gopoh kerana terlalu ingin menjaringkan gol tapi kami akan membantunya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 9:57 AM