PEMAIN Perak meraikan kemenangan selepas berjaya menunggukan pasukan Terengganu dengan jaringan 2 1 pada saringan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Perak 'bermandi peluh' sebelum mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia selepas menundukkan Terengganu FC (TFC) 2-1  dalam saingan Kumpulan A di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Dengan keputusan itu skuad Perak berkongsi 10 mata dengan skuad Penyu. Bagaimanapun skuad TFC masih unggul sebagai pendahulu kumpulan berdasarkan kelebihan jaringan.

Skuad Penyu bimbingan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim bermula garang dengan beberapa percubaan bahaya  menerusi rangkaian  penyerangnya yang diketuai kapten, Kipre Tchetche dan Mohd Ashari Samsudin, namun berjaya dipatahkan pertahanan skuad The Bos Gaurus.

Pelawat yang hadir dengan misi wajib menang berjaya menyerap tekanan dengan melakukan serangan balas untuk meledak jaringan pendahuluan menerusi penyerang sensasinya, Gilmar Da Silva tapi kubu tuan rumah terus kebal bertahan.

Pada minit ke-20, Gilmar yang mendapat peluang di dalam kotak penalti hasil kealpaan benteng tuan rumah tidak melepaskan peluang berkenaan dengan mencetak nama sebagai penjaring gol buat pasukannya untuk mendahului 1-0.

Skuad TFC yang dilihat tertekan nyaris dibolosi buat kali kedua sembilan minit kemudian melalui tolakan mengelirukan Muhammad Firdaus Saiyadi, tapi bola bergolek melepasi tiang gol sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Irfan Bakti yang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir terus diasak pasukan The Bos Gaurus yang ghairah untuk menambah jaringan dengan beberapa percubaan bahaya yang nyaris menemui mulut gol.

Hasil sepakan sudut Lee Tuck, Mohd Ashari yang tidak dikawal melakukan rembatan kencang di dalam kotak penalti pada minit ke-65 sekali gus berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

Semangat juang tinggi pemain Perak akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mendapat jaringan kemenangan 2-1 sekali lagi menerusi Gilmar pada minit ke-86 perlawanan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 11:23 PM