PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton. FOTO AFP
Reuters

MONZA, Itali: Pelumba Mercedes, Lewis Hamilton memenangi perlumbaan menarik Grand Prix (GP) Itali, hari ini sekali gus menjarakkan kelebihan kepada 30 mata di depan pencabar utama, Sebastian Vettel dari Ferrari.

Vettel terpaksa menamatkan perlumbaan di tempat keempat selepas berlaku pelanggaran membabitkannya dengan Hamilton yang mengakibatkan jenteranya berpusing seawal pusingan pertama.

Insiden itu menyebabkannya tercicir ke kedudukan ke-18 tetapi berjaya bangkit untuk melintasi garisan penamat di belakang seorang lagi pelumba Mercedes, Valtteri Bottas yang menamatkan perlumbaan di tangga ketiga.

Rakan sepasukan Vettel, Kimi Raikkonen dari Finland melengkapkan kedudukan podium di Litar Monza selepas menamatkan saingan di tempat kedua.

Raikkonen yang memulakan perlumbaan di petak utama bersaing sengit dengan Hamilton tetapi gagal menghalang pelumba Britain itu daripada meraih kemenangan kelimanya di Monza.

Ia adalah kemenangan keenam buat Hamilton musim ini dan ke-68 sepanjang kariernya dengan kemenangan kelima di GP Itali meletakkannya setaraf legenda Formula Satu (F1) Michael Schumacher.

Pelumba Red Bull, Max Verstappen melepasi garisan penamat di tempat ketiga tetapi terpaksa berpuas hati berada di tangga kelima selepas dikenakan tindakan penalti.

Pelumba Haas, Romain Grosjean menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam diikuti Esteban Ocon dari Force India dan rakan sepasukannya, Sergio Perez.

KEPUTUSAN GP ITALI

1. Lewis Hamilton (GBR) Mercedes, 1 jam 16 minit 54.484 saat (s)

2. Kimi Raikkonen (FIN) Ferrari +8.705s

3. Valtteri Bottas (FIN) Mercedes, +14.066s

4. Sebastian Vettel (GER) Ferrari +16.151s

5. Max Verstappen (NED) Red Bull,  +18.208s*

6. Romain Grosjean (FRA) Haas, +56.320s

7. Esteban Ocon (FRA) Force India, +57.761s

8. Sergio Perez (MEX) Force India, +58.678s

9. Carlos Sainz Jr. (ESP) Renault, +1 minit 18.140s

10. Pierre Gasly (FRA) Red Bull Toro Rosso, +1 pusingan

*Kedudukan 10 terbaik

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 11:35 PM