Maniam (kiri) bangga pencapaian pemain pasukan lelaki dan semangat dipamer pemain berpengalaman, Nicol. FOTO HM Digital/BERNAMA
Fadhli Ishak


KUALA LUMPUR: Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) berpuas hati dengan persembahan skuad negara pada Sukan Asia Jakarta-Palembang yang melabuhkan tirai, malam tadi.

Pasukan lelaki mencipta kejutan apabila meraih pingat emas di Jakarta sementara Datuk Nicol David mempertahankan gelaran perseorangan wanita yang juga pingat emas kelima individu buatnya pada temasya itu sejak 1998.

Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam memuji pasukan lelaki yang dibarisi Nafiizwan Adnan, Ivan Yuen, Ng Eain Yow dan Syafiq Kamal selepas mereka mengecewakan pilihan utama, Hong Kong pada aksi penentuan emas.

Ia kali pertama Malaysia meraih pingat emas dalam acara berpasukan lelaki.

“Ia satu perasaan yang begitu hebat. Saya bangga dengan pencapaian pemain kami,” kata Maniam.

“Mereka (pasukan lelaki) bekerja keras untuk meraih kemenangan itu. Bukan setakat di Jakarta namun sepanjang sesi latihan selama berbulan sebelum perlawanan.

“Itu adalah hari yang begitu menggembirakan buat skuasy Malaysia. Dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa menjadikan ia begitu istimewa.”

Pasukan wanita yang dibarisi Nicol, Low Wee Wern, S Sivasangari dan Aifa Azman bagaimanapun gagal mempertahankan emas yang dimenangi pada 2010 dan 2014.

Maniam mengakui beliau sendiri terkejut dengan kekalahan di tangan India pada separuh akhir namun mempertahankan keputusannya apabila menurunkan Wee Wern sebagai perseorangan kedua di belakang Nicol.

Sivasangari memperagakan aksi lebih baik dalam acara individu apabila dia mara ke final dan meraih pingat perak.

“Ya, saya terkejut apabila mereka tewas. Nicol memberikan segalanya pada aksi pembukaan namun masih belum mencukupi untuk mendapatkan mata pertama. Dia tewas tipis di tangan Joshna (Chinappa).

“Kemudiannya Wee Wern. Gelanggang sememangnya sesuai dengan permainan agresif Dipika (Pallikal). Wee Wern gagal menyaingi lawan dan akhirnya tewas mudah.

“Ramai mempersoalkan kenapa bukan Sivasangari yang beraksi sebagai perseorangan kedua?

“Beberapa minggu sebelum temasya, kami mengemukakan senarai pemain dan menggunakan keputusan pada aksi Terbuka Malaysia.

“Wee Wern menewaskan Sivasangari pada final Terbuka Malaysia. Jadi dia diletakkan sebagai perseorangan kedua dan Sivasangari ketiga.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 4:47 PM