LORENZO meraih petak pertama ketiganya bagi musim ini. FOTO/AFP
Sukhairi Thani


JORGE Lorenzo mengulangi prestasinya seperti di kelayakan Grand Prix (GP) British apabila mengungguli sesi sama di GP San Marino sebentar tadi manakala Hafizh Syahrin Abdullah bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-25, esok.

Pelumba Ducati, Lorenzo meraih petak pertama ketiganya bagi musim ini selepas kali pertama melakukannya di GP Catalunya yang menyaksikan dia memenangi perlumbaan berkenaan.

Lorenzo yang ketika ini berada di tangga ketiga keseluruhan bagi kelas MotoGP mencatat masa sepusingan terpantas 1 minit 31.629 saat di Sirkit Misano manakala Jack Miller dari pasukan Alma Pramac Racing berada di petak kedua dengan 1'31.916s.

Melengkapkan barisan pertama perlumbaan esok adalah pelumba Movistar Yamaha MotoGP, Maverick Vinales yang melakukan catatan sepusingan, 1'31.950s.

Pelumba tempatan yang mewakili Monster Yamaha Tech3, Hafizh bakal bermula daripada barisan kesembilan yang juga terakhir apabila melakukan catatan, 1'34.080s. Berada sebaris dengannya adalah Christophe Ponsson dari Reale Avintia Racing.

Selepas 12 pusingan musim dengan perlumbaan di Sirkit Silverstone, England terpaksa dibatalkan susulan hujan berlarutan yang menyebabkan takungan air di beberapa selekoh dua minggu lalu, Hafizh setakat ini menduduki tangga ke-16 dengan 24 mata.

Pesaing utamanya dalam senarai muka baharu terbaik, Franco Morbidelli pula bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-12 apabila mencatat 1'32.454s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 10:09 PM