PELUMBA PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin. FOTO Petronas Sprinta Racing
Sukhairi Thani
sukhairi@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Selepas tiga pusingan tanpa mengutip sebarang mata, kini pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin kembali berada dalam kelompok 15 terbaik apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino di tangga ke-12, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu menamatkan perlumbaan di Sirkit Misano dengan membawa pulang empat mata berharga selepas melengkapkan 23 pusingan dengan catatan 39 minit 49.467 saat.

Keputusan itu juga memperbaiki rekod perlumbaannya pada dua musim lalu yang menyaksikan pelumba berusia 20 tahun berkenaan tidak menamatkan saingan tahun lalu dan ke-23 (2016).

Adam kini berada di tangga ke-21 dengan 28 mata selepas 13 pusingan musim dalam kedudukan keseluruhan kelas Moto3.

Pelumba Itali, Lorenzo Dalla Porta meraih kemenangan pertamanya musim ini dengan mencatat 39'38.684s manakala pendahulu kelas Moto3, Jorge Martin kedua, 39'38.742s. Melengkapkan pentas podium adalah rakan sepasukan Martin di Del Conca Gresini Moto3, Fabio Di Giannantonio (39'38.806s).

Pusingan ke-14 musim selepas ini dijadual berlangsung di Sirkit MotorLand Aragon, Sepanyol pada 23 September ini sebelum memasuki benua Asia bermula di GP Thailand, 7 Oktober depan.

Sementara itu, dalam saingan Moto2, pelumba negara yang bersama pasukan IDEMITSU Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi menamatkan perlumbaan di tangga ke-22.

Pelumba yang bakal bersama pasukan PETRONAS Sepang Racing melengkapkan 25 pusingan dengan catatan 41'55.496s pada perlumbaan yang menyaksikan Francesco Bagnaia mencatat masa terpantas 41'02.106s untuk muncul juara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 8:50 PM