LUKA MODRIC
AFP

MADRID: Jangkaan Devan Lovren mungkin tepat apabila menyatakan jika Luka Modric beraksi untuk Sepanyol atau Jerman, dia mungkin tidak dicalonkan untuk anugerah Ballon d'Or - yang dimenangi oleh Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo selama 10 tahun terakhir.

Lovren menegaskan, pencalonan rakan senegaranya, Modric itu adalah selepas pencapaian Croatia di Piala Dunia Russia yang mara ke pentas final.

“Kerana kami adalah negara kecil, Modric mendapat kurang tumpuan,” kata Lovren.

“Bukan hanya Modric saja mempamerkan aksi cemerlang untuk Croatia di Russia, tetapi dia sering memberi inspirasi kepada rakan sepasukan lain,”

Meraih kejayaan di pentas antarabangsa agak asing untuk Modric kerana dia dilihat lebih menyerlah bersama kelab.

Kejayaan meraih satu gelaran liga dan empat kejuaraan Liga Juara-Juara bersama Real Madrid jelas sukar untuk menafikan kemampuan Modric.

Ditanya mengenai Modric, Sergio Ramos berkata: “Modric berhak untuk memenangi anugerah itu.”

Ramos berkata, Modric mungkin tidak mendapat tumpuan seperti Gareth Bale, Isco atau Ronaldo, tetapi dia sering memberi inspirasi dan cara permainannya sesuai dengan taktikal pasukan.

Modric perlu bersaing dengan sensasi Juventus, Ronaldo serta bintang Liverpool, Mohamed Salah untuk anugerah berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 8:18 AM