B SATHIANATHAN
B SATHIANATHAN
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Langkah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mensyaratkan semua pasukan di Liga Malaysia (Liga-M) wajib mempunyai jurulatih kecergasan adalah tepat dalam meningkatkan kualiti pemain.

Hasilnya dapat dilihat menerusi keputusan positif diraih oleh dua pasukan kebangsaan - skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dan B-19, apabila kedua-duanya berjaya mencatat keputusan cemerlang, meskipun hanya sempat berlatih untuk tempoh singkat.

Kejayaan anak buah Datuk Ong Kim Swee mara ke pusingan kedua Sukan Asia bulan lalu, serta kejutan beraksi di suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China awal tahun ini adalah kerana tahap kecergasan tinggi dimiliki pemain muda berkenaan.

“Bukan mudah untuk kita bersaing dengan pasukan dari negara yang sudah biasa layak ke Piala Dunia seperti Korea Selatan, Jepun, Arab Saudi dan Iran,” kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan.

Katanya, apabila Malaysia mampu menewaskan pasukan utama itu, ia hadir dengan dua faktor iaitu kebijaksanaan jurulatih menyusun strategi dan satu lagi disebabkan oleh tahap kecergasan yang ada pada pasukan itu.

“Kebanyakan anggota skuad B-23 adalah pemain utama di Liga-M. Kita dapat lihat pemain berjaya memberi saingan sengit selama 90 minit, biarpun lawan cuba meningkatkan tempoh permainan, namun mereka mampu bertahan.

“Bagi saya, ini semua adalah sumbangan jurulatih kecergasan di liga kita yang banyak membantu persiapan mereka sebelum memasuki kem latihan skuad kebangsaan.

“Kehadiran jurulatih kecergasan juga dapat membantu pemain pulih daripada kecederaan dengan cepat sekali gus memudahkan ketua jurulatih merencana persiapan sebelum perlawanan,” katanya yang memuji tindakan MFL itu.

Sejak pelaksanaan penswastaan liga pada 2015 lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pentadbir liga domestik, MFL memutuskan setiap pasukan wajib mempunyai jurulatih kecergasan bagi mendapatkan lesen kelab untuk layak beraksi di liga tempatan.

Kini, kesemua 24 pasukan di Liga Super dan Liga Perdana sudah menggunakan khidmat jurulatih kecergasan yang juga memainkan peranan besar dalam kejayaan sesebuah pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 2:02 PM
Digital NSTP Subscribe