ATLET berbasikal Johor, Muhamad Saari Amri Abd Rasim (tengah) bersama pingat emas yang dimenanginya dalam acara berbasikal lebuh raya lepas beramai-ramai lelaki 140 Kilometer dengan catatan masa 3 jam 24.37.104 saat pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak ke-19 di Dataran Warisan Taiping. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat dan Jumiati Rosly
sukanteam@nstp.com.my

 

TAIPING: Pelumba Mohamad Saari Amri Abdul Rasim berjaya memecahkan dominasi pelumba Terengganu sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun pingat emas buat Johor dalam acara berbasikal selepas mengungguli saingan lebuh raya sejauh 140 kilometer (km) di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak hari ini. 

Saari, 20, melepasi garisan penamat selaku juara dengan catatan masa 3 jam 24 minit 37.104 saat menewaskan Wan Abdul Rahman Hamdan dari Terengganu 3:24:37.119s untuk perak manakala gangsa menjadi milik pelumba Wilayah Persekutuan Muhamad Aliff Farhan Abu Samah 3:24:37.469s.

Kejayaan itu cukup bermakna apabila dia dipanggil untuk menjalani latihan bersama pasukan benua negara, Sapura selama tiga bulan. 

"Tiada apa yang mampu saya katakan dengan kemenangan ini selain gembira kerana tidak menyangka akan menang. Lebih manis emas ini diperoleh selepas 16 tahun. 

"Seingat saya kali terakhir Johor mendapat emas adalah pada SUKMA 2002," kata Saari. 

Perlumbaan yang bermula di Arena Batu Kurau dan berakhir di Dataran Warisan itu bagaimanapun dicemari dengan insiden kemalangan membabitkan pelumba Johor Muhammad Nurfitri Ammar Rusli dan pelumba Terengganu Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim ketika saingan berbaki 50 meter terakhir.

Insiden itu sekali gus memberi peluang buat Saari mencelah untuk ke garisan penamat selaku juara. 

Bagaimanapun kemenangan Saari itu mendapat bantahan daripada ketua jurulatih berbasikal Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan kerana mendakwa pelumba Johor menghimpit pelumba Terengganu sehingga menyebabkan kemalangan sekali gus menyebabkan mereka tewas. 

"Terengganu mendahului sejak mula perlumbaan sehinggalah pelumba Johor (Shahmir Aiman) datang menghimpit dan terkena tayar menyebabkan dia terjatuh.

"Sebab itu kita kalah. Jadi bantahan sudahpun dibuat 30 minit selepas tamat perlumbaan," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 8:44 PM