PEMAIN skuasy negara, Low Wee Wern. FOTO Asyraf Hamzah
Ferzalfie Fauzi

 

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka skuad skuasy wanita negara tidak berdepan masalah ketika mengetepikan Switzerland 3-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia di Dalian, China sekali gus menjuarai Kumpulan D.

Selaku juara kumpulan, Malaysia akan berdepan naib juara Kumpulan C Perancis, dan pemain wanita negara Low Wee Wern menganggap pemenang pingat gangsa 2016 itu akan memberikan cabaran sengit.

"Perlawanan menentang Perancis akan berlangsung dengan sengit dan kita mengharapkan permulaan yang baik bermula dari Datuk Nicol David selaku pemain pertama," kata Wee Wern.

Sementara itu Wee Wern turut menarik nafas lega kerana misi terakhir mereka untuk mencatat kemenangan pada hari terakhir peringkat kumpulan membuahkan hasil.

"Saya juga berasa lega dapat kembali beraksi di gelanggang kaca kerana sudah lama tidak bermain di gelanggang seperti ini," kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Aksi pemain wanita negara hari ini bermula dengan langkah kanan selepas S Sivasangari yang turun selaku pemain pertama, tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Cindy Merlo 8-11, 11-4, 11-9, 14-12.

Mata kedua pula disumbangkan Aifa Azman yang mencatat kemenangan 11-6 11-5 11-4 ke atas Celine Walser, sebelum Wee Wern menyelesaikan tugasan negara mengalahkan Nadia Pfister 11-7, 11-7, 11-4.

Mengiringi Malaysia ke suku akhir ialah Hong Kong yang akan berdepan, Amerika Syarikat di suku akhir, manakala penyandang juara, Mesir pula bakal melakukan perhitungan dengan naib juara Kumpulan B.

Jika skuad wanita negara berjaya melepasi halangan Perancis di suku akhir, mereka bakal berdepan pemenang di antara Kanada dan England yang akan berantap dalam satu lagi aksi suku akhir.

Selepas Nicol, pemenang perak Sukan Asia Jakarta-Palembang, Sivasangari akan turun selaku pemain kedua dan diikuti oleh Wee Wern.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 9:46 PM