PENGURUS Arsenal, Unai Emery (kanan) memberi arahan kepada Ozil ketika aksi Liga Perdana Inggeris. FOTO Agensi
AFP

LONDON: Pengurus Arsenal Unai Emery berharap ketiadaan Mesut Ozil di arena antarabangsa membantu pemain tengah itu meraih semula prestasi terbaiknya bersama Gunners.

Ozil, yang memiliki 92 penampilan bersama skuad kebangsaan Jerman membuat keputusan menggantung but sejurus mengharungi kempen Piala Dunia mengecewakan di Russia.

Bekas bintang Real Madrid itu berkata dia berdepan diskriminasi perkauman dan dijadikan kambing hitam susulan kegagalan juara dunia 2014 itu.

Sekali pun diberikan lanjutan kontrak baharu lumayan oleh Arsenal sehingga 2021 pada Januari lalu, dia masih bergelut untuk untuk mencetus impak sehingga kehadiran Emery di Emirates pada Jun.

Dan menjelang kunjungan ke Newcastle pada Sabtu ini dalam kempen Liga Perdana Inggeris, Ozil meraih peluang yang sukar diperolehnya sebelum ini iaitu menjalani latihan penuh selama dua minggu ketika rehat antarabangsa.

“Pemain-pemain mempunyai kebiasaan untuk bermain pada rehat antarabangsa, perlawanan yang penting, mempertahankan identiti mereka dan apabila seorang daripadanya berhenti melakukannya, saya fikir ia sesuatu yang bagus untuk hanya fokus kepada pasukan,” kata Emery.

“Bagi Mesut, ia penting, sama seperti saya, untuk memperoleh fokusnya setiap hari bersama kami.”

Ozil diletakkan sebagai pemain gantian pada perlawanan kedua Emery di Arsenal ketika menentang Chelsea di laman lawan dan langsung tidak disenarai seminggu kemudian ketika Gunners meraih kemenangan sulung menentang West Ham di Emirates susulan masalah kesihatan.

Begitupun, dia kembali ketika kemenangan 3-2 kepada Cardiff di gelanggang lawan sebelum rehat aksi antarabangsa dan dijangka akan mengekalkan kedudukannya dalam kesebelasan utama ketika berkunjung ke Newcastle. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 11:49 PM