PASUKAN Selangor ketika menentang pasukan Sabah dalam perlawanan akhir acara ragbi wanita pada SUKMA Perak 2018 di Stadium Ragbi Perak. -Foto L MANIMARAN
BERNAMA

IPOH: Kemenangan pasukan ragbi 7-sebelah wanita Sabah pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak 2018 menjadi hadiah berganda buat Negeri di Bawah Bayu, kata Ketua Jurulatihnya, Noel Philip.

Ini kerana pasukan itu muncul juara kategori wanita sukan ragbi yang pertama kali dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu, selain kemenangan 31-0 ke atas Selangor yang dilakar pada sambutan Hari Malaysia, hari ini.

“Sudah tentu ini satu sejarah buat kami, muncul juara pertama pada hari penuh bersejarah ini. Ini hadiah yang terbaiklah,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Ragbi Perak, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh di sini, hari ini.

Pada penentuan pingat emas itu, Selangor nyata bukan tandingan Sabah yang memperoleh kemenangan menerusi lima ‘try’ dan tiga ‘conversion’.

Aguzta Epiphany Kissol berjaya menembusi benteng pertahanan Selangor seawal minit pertama untuk mendapatkan lima mata menerusi ‘try’ yang dilakukannya.

Sabah kemudian berjaya menambah 10 mata menerusi dua ‘try’ yang dilakukan Amber Bernard dan Shania Suinani Baduk pada minit kedua dan kelima dan disertai dengan dua ‘conversion’ yang disempurnakan oleh Amber untuk meletakkan Sabah di hadapan dengan 19-0.

Dua minit selepas babak kedua bersambung, Aguzta Epiphany sekali lagi melakukan ‘try’ disusuli ‘conversion’ yang baik oleh Fiffyfelicita Sakai.

Sabah terus menguasai permainan dengan ‘try’ kelima menerusi larian kencang Lika Marlene pada minit terakhir (min-14) perlawanan.

Sementara itu, dalam perlawanan akhir kategori lelaki pula, Kelantan muncul penyumbang emas pertama buat kontinjen negeri itu selepas mengalahkan Terengganu 19-0 dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 3,000 penonton.

Kejayaan itu adalah yang ketiga buat Kelantan selepas memenanginya pada edisi 2011 dan 2013 di Kuala Lumpur.

Mata kemenangan skuad bimbingan Mohd Khairol Azhar Md Noor diperolehi menerusi tiga ‘try’ masing-masing oleh Muhammad Hasif Sharifuddin, Habibullah Ab. Rahman dan Wan Anas Afnan Wan Ilias pada minit pertama, kelapan dan ke-10 serta dua ‘conversion’ oleh Zulmajdi Kama Razali.

“Kemenangan kita ini didorong semangat untuk sumbangkan emas pertama buat Kelantan,” kata Mohd Khairol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 8:45 PM