PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp (kanan) sedia menurunkan Shaqiri pada aksi menentang Southampton, malam ini.
Agensi

LONDON: Xherdan Shaqiri dijangka akan memulakan aksi pertamanya dalam kesebelasan utama Liverpool selepas Jurgen Klopp mengakui beliau melakukan ‘kesilapan’ dalam menguruskan pemain tengah itu.

Pemain antarabangsa Switzerland itu mencipta kejutan berpindah ke Liverpool pada musim panas lalu dari Stoke yang tersingkir ke Liga Kejuaraan musim ini.

Dia melakukan impak apabila meledak jaringan menarik menentang Manchester United di Michigan, namun setakat ini, Shaqiri hanya beraksi 27 minit dalam aksi liga sepanjang empat perlawanan serta lima minit dalam Liga Juara-Juara.

Klopp membuat keputusan sukar menentang Paris Saint-Germain (PSG) minggu lalu, dengan idea - jika Roberto Firmino masih cedera, Shaqiri akan beraksi di bahagian sayap dan Mohamed Salah akan beraksi di tengah.

Namun, mungkin situasinya tidak cukup sesuai untuk menurunkan pemain berusia 26 tahun itu.

“Dia sangat ceria, sangat positif,” kata Klopp. “Ia bukan saja soal persembahan tetapi juga ketika di bilik persalinan. Semua orang sukakan Shaq, itulah hakikatnya - walaupun tidak banyak diberi peluang beraksi.

“Ia lebih kepada kesilapan saya. Secara jujurnya, dia melakukan semuanya untuk mendapat tempat beraksi.

“Saya membuat keputusan berbeza tetapi masanya akan tiba, itu sudah pasti. Kami akan menggunakan semua pemain yang ada. Mereka berada dalam persekitaran yang cukup baik.

“Lihatlah bagaimana keadaan Daniel (Sturridge), bukan hanya Daniel yang mengalami detik itu (tidak beraksi), mereka semua mahu beraksi di padang.

“Kami mencipta keadaan di mana pemain bukan saja merebut untuk disenaraikan ke bangku simpanan, tetapi berebut untuk melonjakkan prestasi mereka ketika di padang.

“Kami akan memberikan peluang itu, tetapi (dengan syarat) jika mereka cukup baik. Kemudian, saya akan melakukan tugas untuk pilih siapa yang akan bermain,”

Jika Shaqiri diturunkan beraksi menentang Southampton malam ini, ia akan mengubah senarai tiga serangkai di bahagian serangan - Firmino, Sadio Mane dan Salah.

Salah - dilihat mengetuk botol air ke lantai ketika Liverpool meraikan jaringan Firmino menentang PSG, - membayangkan kekecewaan kerana dia sudah mencuba sedaya upaya meledak jaringan tetapi masih gagal.

Namun, Klopp menegaskan, Salah sebenarnya bekerja lebih kuat berbanding sebelum ini walaupun tidak berapa tajam di depan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 1:49 PM