ROGER FEDERER
ROGER FEDERER
AFP

CHICAGO: Roger Federer dan Alexander Zverev nyata berada di kelas tersendiri apabila memastikan pasukan Eropah mengatasi Pilihan Dunia, 7-1 di Kejohanan Piala Laver yang berlangsung di sini, hari ini.

Pemain nombor dua dunia, federer tidak berdepan masalah besar untuk mengenepikan cabaran Nick Kyrgios dengan keputusan 6-3, 6-2.

Terdahulu, Zverev memastikan pasukan Eropah mendahului apabila menewaskan John Isner pada hari kedua kejohanan dalam acara perseorangan yang berlangsung sengit.

Zverev, 21, terpaksa diheret hingga ke set penentuan sebelum meraih kemenangan 3-6, 7-6 (8/6), 10-7.

Dominasi Eropah cukup ketara sejak hari pertama kejohanan yang bermula kelmarin, dengan barisan handalan Eropah memenangi tiga perlawanan daripada empat aksi.

Zverev yang juga pemain kelahiran Jerman beraksi dengan penuh bergaya untuk tidak melepaskan sebarang mata kepada pasukan Pilihan Dunia biarpun dia dicabar hebat hingga ke tiga set.

Eropah hanya memerlukan 13 mata untuk menjulang gelaran selepas memenanginya pada tahun lalu dalam pasukan yang diketuai Rafael Nadal dan Federer.

Dalam perlawanan berikutnya, Novak Djokovic akan berhadapan Kevin Anderson, manakala pasangan beregu Eropah, Grigor Dimitrov dan David Goffin dijadualkan menentang Jack World dan Kyrgios.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 10:18 AM