ZVEREV (tengah) meraikan kejayaan mempertahankan Piala Laver bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
ZVEREV (tengah) meraikan kejayaan mempertahankan Piala Laver bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
AFP

CHICAGO: Pasukan Eropah mempertahankan Piala Laver selepas Alexander Zverev menewaskan Kevin Anderson bagi melengkapkan kemenangan 13-8 ke atas Pasukan Dunia, hari ini.

Pemain Jerman, Zverev bangkit selepas ketinggalan di set pertama sebelum menang 6-7 (3/7), 7-5, 10-7 ke atas Anderson bagi membolehkan Eropah mempertahankan trofi yang dimenangi mereka di Prague tahun lalu.

Kemenangan Zverev adalah kemuncak kepada aksi menarik di Pusat Tenis Chicago apabila Pasukan Dunia tidak mudah menyerah dan memberi saingan sengit kepada Eropah.

Pasangan Amerika Syarikat John Isner dan Jack Sock menyelamatkan dua mata akhir sebelum menewaskan gandingan Zverev dan pemain nombor dua dunia, Roger Federer dalam aksi mendebarkan.

Isner dan Sock menang 4-6, 7-6 (7/2), 11/9 bagi membolehkan Dunia mendahului 8-7 dengan baki tiga acara perseorangan.

Pasukan Eropah tidak menunggu lama untuk kembali bangkit melalui Federer yang meraih tiga mata apabila dia yang berusia 37 tahun menewaskan Isner yang mempunyai servis kencang itu 6-7 (5/7), 7-6 (8/6), 10/7.

Kemenangan itu menjadi ‘testimoni’ kepada keadaan fizikal Federer yang kembali pulih.

Pemenang 20 kali kejuaraan Grand Slam itu mengatasi cabaran Isner dalam masa kurang sejam selepas dia tewas dalam acara beregu.

Federer meraikan kejayaannya itu dengan melakukan tekan tubi bersama pasangannya sekali gus mencuit hati penonton.

Selepas ini Piala Laver yang mengambil sempena nama legenda Australia Rod Laver akan berlangsung di Geneva, Switzerland pada September 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 10:00 AM