LUCIANO SPALLETTI

MILAN: Pengurus Inter Milan, Luciano Spalletti terpaksa menelan kepahitan berikutan kelakuan melampaunya meraikan gol menentang Sampdoria Sabtu lalu, yang menyaksikan beliau dilarang berada bersama pemain pada aksi Serie A bertemu Fiorentina, awal pagi esok.

Keputusan itu dilakukan pentadbir liga, Lega Serie A selepas mendapati tindakan Spalletti menjerit di depan kamera televisyen dilihat agak keterlaluan ketika beliau meraikan jaringan tunggal Marcelo Brozovic pada minit ke-94.

Menurut laporan pegawai perlawanan, jurulatih itu memperagakan “sikap keterlaluan terhadap pegawai keempat.” Beliau diberi amaran sejurus selepas perlawanan itu kerana “meluahkan perasaan melawan” kepada pengadil.

Inter sudah merayu dan berharap Spalletti boleh kembali ke bangku simpanan di San Siro menentang Fiorentina ketika rayuan mungkin dibincangkan sebelum tengah hari.

“Saya memohon maaf atas apa yang berlaku tapi saya tidak mahu menambah apa-apa,” kata Spalletti pada sidang akhbar praperlawanan awal pagi tadi.

Kemenangan saat akhir itu hadir selepas Inter mengatasi Tottenham 2-1 pada aksi Liga Juara-Juara di San Siro, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 9:55 AM