MEHMET mahu anak buah fokus pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia. FOTO/FAIL
Azizan Hashim


PERAK belum menyerah kalah terhadap peluangnya mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini. Bagi jurulatih pasukan The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, anak buahnya mempunyai 90 minit apabila turun membuat perhitungan kedua dengan pasukan Semut Merah di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

"Pemain sudah mencuba tetapi apakan daya malam ini (malam tadi) ternyata bukan milik kami. Kami mengasak ke kubu lawan tetapi gagal mendapatkan gol yang diperlukan," katanya.

Durakovic berkata, pemain PKNS FC berjaya mempertahankan kubu mereka dengan baik.

“Apapun kami masih ada 90 minit. Mungkin nasib kami lebih baik di Shah Alam. Kita lihat nanti bagaimana," katanya.

Jurulatih itu memuji benteng Perak yang dibarisi semua pemain tempatan berikutan ketiadaan pemain import Jad Nourredin yang mengalami demam.

"Saya berbangga dengan kekentalan benteng diterajui Shahrul (Saad) yang bergandingan baik dengan Nazirul (Naim Che Hashim), (Amirul) Azhan dan Idris (Ahmad)," katanya.

Perak juga tidak dapat menurunkan kapten dan pemain tengah, Mohd Nasir Basharuddin kerana tercedera dan Durakovic memberi kepercayaan kepada pemain muda, Muhammad Firdaus Saiyadi untuk bergandingan dengan Brendan Gan di bahagian tengah.

"Firdaus berjaya membalas kepercayaan saya dengan memberi sumbangan bermakna kepada pasukan. "Saya gembira kerana percaturan menjadi, " katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 2:41 PM