PEMANDU Mercedes, Valtteri Bottas (tengah) bersalaman dengan rakan sepasukan, Lewis Hamilton. FOTO AFP
Reuters

SOCHI, Russia: Pelumba Finland, Valtteri Bottas mengungguli sesi kelayakan Grand Prix (GP) Russia, hari ini meninggalkan rakan sepasukannya di Mercedes, Lewis Hamilton terpaksa berpuas hati di petak kedua.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel yang ketinggalan 40 mata di belakang Hamilton dalam pemburuan kejuaraan Formula Satu (F1) akan memulakan perlumbaan di Litar Laut Hitam itu di petak ketiga.

Catatan yang dilakukan Bottas, 1 minit 31.387 saat memecahkan rekod sepusingan terpantas litar dan menjadi petak utama kedua buat pelumba berusia 29 tahun itu musim ini.

Lebih menarik, kemenangan pertama Bottas dalam F1 juga di litar yang sama pada tahun lalu.

“Dia (Bottas) memandu dengan cukup bijak pada minggu ini dan dia melakukan kerja yang lebih bagus,” kata Hamilton yang mencatat masa terpantas pada dua sesi pertama kelayakan sebelum Bottas memintas catatannya.

“Dua pusingan terakhir saya pada kelayakan ketiga tidak begitu baik, kamu tidak akan sentiasa memperolehnya tetapi kami masih dalam pemburuan esok.”

Vettel yang mengetuai jentera Ferrari mengungguli barisan dengan GP Russia tahun lalu dengan Bottas di petak ketiga mengakui peluangnya untuk meraih kemenangan masih terbuka.

“Saya bercakap dengan Valtteri dan mengingatkannya apa yang berlaku pada tahun lalu jadi mungkin kami boleh mengubah keadaan,” kata pelumba dari Jerman itu.

“Penting untuk kami sentiasa rapat dengan mereka tetapi menang benar mereka amat pantas. Ia perlumbaan yang panjang dan penggunaan tayar juga penting. Kami sepatutnya lebih dekat.

“Jentera nampak bagus jadi ia membuatkan saya gembira. Jika ada ruang, kami akan menutupnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 10:19 PM