CRISTIANO RONALDO
CRISTIANO RONALDO
Reuters

TURIN: Cristiano Ronaldo terbabit dalam ketiga-tiga gol pasukannya ketika pendahulu Juventus bangkit menewaskan Napoli yang beraksi 10 pemain 3-1 dalam pertembungan dua pasukan teratas Serie A sekali gus mengekalkan permulaan sempurna mereka musim ini.

Dries Mertens meletakkan Napoli di depan sebelum Ronaldo membuat umpanan untuk gol penyamaan Mario Mandzukic dan kemudian membuka peluang mudah buat penyerang Croatia itu menambah jaringan selepas percubaannya terkena tiang.

Tandukan Ronaldo yang dinafikan tiang mencetus gol ketiga Juve yang disempurnakan Leonardo Bonucci. Sebelum itu pertahanan kiri Napoli, Mario Rui dibuang padang kerana menendang Paulo Dybala.

AS Roma melakar kejutan dengan kemenangan 3-1 ke atas seteru tetangga Lazio, yang sebelum itu menang semua lima perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, manakala Inter Milan menewaskan Cagliari 2-0 untuk kemenangan ketiga berturut-turut liga.

Juventus yang memburu gelaran kelapan berturut-turut, kini mengumpul 21 mata daripada tujuh perlawanan, enam mengatasi naib juara musim lalu Napoli. Sassuolo dan Inter mengumpul 13 mata diikuti Lazio di tangga kelima (12 mata) dan Roma keenam (11).

“Ronaldo menikmati permainannya,” kata pengendali Juventus, Massimiliano Allegri. “Dia sudah menyesuaikan diri dengan baik. Saya rasa ini perlawanan terbaiknya setakat ini musim ini.”

Jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti menyesali kegagalan pemainnya mengekang asakan bertali arus lawan.

“Kami bermain baik bagi 20 minit pertama, kemudian lawan kami menguasai permainan. Kami perlu terus meningkat jika mahu kompetitif hingga ke hujung musim,” kata Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 8:10 AM