PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. FOTO Luqman Hakim Zubir
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan keputusan melantik Roelant Oltmans selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan bermula hari ini bukan untuk menyingkirkan sepenuhnya pengendali terdahulu, Stephen Van Huizen.  

Sebaliknya tegas beliau, kehadiran Oltmans dengan kontrak dua tahun adalah sebagai memberi suntikan tambahan kepada skuad hoki lelaki negara dalam misi penting untuk memastikan Malaysia layak beraksi di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.  

"Ia bukan sebab Stephen gagal tetapi kami mahu memberi suntikan lebih baik dalam skuad kebangsaan. 

"Bagi saya Stephen sudah melakukan yang terbaik dan sekarang kami masih memerlukan khidmatnya," katanya merujuk kepada tugas Stephen sebagai penolong jurulatih dan pengurus skuad kebangsaan. 

Tegas Subahan, tidak timbul soal siapakah lebih layak bertindak selaku ketua di dalam pasukan dengan kehadiran Oltmans. 

"Kami hanya mahu menjadikan skuad kebangsaan lebih baik. Harap inilah formula yang kita mahukan. 

"Stephen lebih mengetahui pasukan ini dan sebab itulah dia menjadi penolong jurulatih dan pengurus skuad kebangsaan. Manakala struktur kejurulatihan yang lain masih sama," katanya. 

Di bawah bimbingan Stephen yang membimbing skuad kebangsaan sejak hujung 2015, skuad negara hampir layak secara automatik ke temasya Sukan Oimpik Tokyo 2020. 

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi Malaysia apabila tewas kepada Jepun pada penentuan pingat emas Sukan Asia di Jakarta-Palembang sekali gus menyaksikan mereka tiada pilihan lain selain perlu beraksi pada kempen kelayakan tahun depan. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 7:38 PM