PEMAIN JDT II, Che Rashid Che Halim diasak pemain UKM FC, Wan Mohamed Afiq Wan Mohamed Kasbi pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Cabaran 2018 di Stadium Pasir Gudang. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


PASIR GUDANG: UKM FC mara ke pentas final Piala Cabaran selepas melakar kejutan dengan menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 1-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, sebentar tadi.

Kemenangan itu amat bermakna buat skuad kendalian Sulaiman Hussin yang mencatat keputusan 1-1 pada aksi separuh akhir pertama, 24 September lalu yang menyaksikan jaringan tunggal Faiz Hanif Adnan memastikan pelawat menang dengan agregat 2-1. 

Ketika aksi memasuki minit ke-12, peluang terbaik JDT II untuk memecah kebuntuan jaringan gagal dimanfaatkan Bruno Soares selepas bola tandukan hasil sepakan sudut Nicolas Fernandez hanya sipi dari gawang gol tatkala penjaga gol UKM FC, Nor Haziq Mohd Aris sudah pun tertewas.

Bagaimanapun, aksi yang dipamerkan kedua-dua pasukan tampak membosankan apabila lebih kerap berlegar di kawasan tengah padang berbanding untuk melakukan serangan yang menarik dan percubaan berbahaya hingga kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Sebaik babak kedua bermula pengendali JDT II, Ervin Boban merombak barisan serangan yang kurang berkesan apabila mengeluarkan Darren Lok dan memasukkan D Saarvindran dengan Rozaimi Abd Rahman mengambil alih tugas selaku penyerang.

Begitupun, disebabkan kealpaan benteng tuan rumah, anak didik Sulaiman bijak mengambil kesempatan untuk mencipta jaringan pada minit ke-51 selepas Faiz Hanif yang tidak dikawal mudah menolak bola menewaskan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Malah pelawat hampir menambah jaringan pada minit ke-62 selepas kapten Asnan Ahmad merembat bola dari jarak 25 meter yang hampir menewaskan Haziq namun bola sekadar sipi dari gawang gol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 12:51 AM