Faizal (kiri) bersalaman dengan pemain Perak. FOTO MUHAIZAN YAHYA
Azizan Hashim 
sukanteam@nstp.com.my


IPOH: Kerajaan Perak menjanjikan ganjaran RM15,000 kepada setiap pemain jika The Bos Gaurus mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu pada majlis makan tengahari bersama pasukan di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC) di sini hari ini.

Beliau berkata, ganjaran tambahan akan dipertimbangkan jika Perak muncul juara trofi berprestij itu. 

"Pemberian ganjaran ini diharap dapat menyuntik semangat juang pemain yang sememangnya sedang tinggi.

"Selepas 11 tahun kemarau kejuaraan, saya berharap kali ini pemain akan membawa pulang trofi terunggul ini ke Ipoh," katanya. 

Ahmad Faizal berharap pemain mempamerkan persembahan bertenaga seperti ketika bertemu PKNS FC di suku akhir kedua, Ahad lalu apabila turun pada separuh akhir pertama menentang Sabah di Stadium Perak, Ahad ini.

Namun, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Peja tidak mahu pemain bersikap terlalu yakin memandangkan mereka bertemu pasukan Liga Perdana.

"Jangan anggap remeh dan mudah perlawanan kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak," katanya. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengakui kejayaan pasukan mara ke separuh akhir adalah satu pencapaian membanggakan apatah lagi selepas  perubahan tampuk kepimpinan badan induk itu pada kongres, Julai lalu.

"Ia hadiah kepada kepimpinan baharu negeri dan PAFA. Saya bersyukur dengan kejayaan ini. Ia hasil kesungguhan dan kerja kuat pemain, jurulatih dan kakitangannya," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 5:09 PM