GOH V Shem dan Tan Wee Kiong. FOTO Eizairi Shamsudin
Datuk Seri Jalani Sidek

Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan beberapa pemain kebangsaan daripada menyertai kejohanan antarabangsa dilihat satu tindakan yang cukup wajar.

Secara peribadi saya menyokong tindakan BAM yang kali ini nampak tegas.

Apa guna menghantar pemain ke satu-satu kejohanan kalau mereka gagal beraksi dengan baik.

Antara yang sudah pun menerima hukuman itu adalah pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang digugurkan daripada menyertai Terbuka Taiwan.

Manakala pasangan beregu utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula digugurkan daripada menyertai Terbuka Denmark dan Perancis.

V Shem-Wee Kiong pastinya paling tepat dikenakan hukuman itu selepas tersingkir awal pada Terbuka Jepun dan China bulan lalu. Mereka juga gagal menyerlah di Sukan Komanwel, Piala Thomas, Kejohanan Dunia serta Sukan Asia.

Lebih menyedihkan kadang-kadang mereka berdua ini tewas dengan lawan kurang ternama. Jadi apa lagi boleh dilakukan selain perlu 'menyedarkan' mereka.

Lagi pun adalah satu pembaziran apabila menghantar pemain yang kita tahu tidak berada pada prestasi terbaik selepas badan induk itu bekerja keras untuk mendapatkan tajaan.

Jurulatih pula janganlah main sorok-sorok untuk mempertahankan barisan pemain mereka. Sepatutnya mereka lebih terbuka dan jujur dalam memberitahu prestasi pemain masing-masing.

Daripada membazir menghantar pemain sama yang sering gagal, lebih baik peluang diberikan kepada barisan pemain muda yang sebelum ini kurang mendapat pendedahan.

Ada orang kata, menghukum pemain akan menyebabkan mereka terus gagal menemui sentuhan sebenar.Tapi saya sangat tidak bersetuju dengan pendapat seperti ini.

Lihat saja bagaimana pemain Jepun, Kento Momota yang dihukum kerana berjudi tapi ketika ini dia sudah pun muncul juara dunia serta menduduki ranking pertama.

Pokoknya pada pemain itu sendiri. Kalau mempunyai hati yang besar serta semangat tinggi untuk mencapai kejayaan, saya yakin mereka mampu meraih apa yang dihajati.

Jika tidak sampai kesudahlah dengan prestasi mendatar.

Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 2:53 AM