PELUMBA Yamaha Monster Tech 3, Hafizh Syahrin (kiri) menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 sekaligus mengakhiri kemarau mata. FOTO AFP
Fadhli Ishak


KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya menamatkan saingan dengan memperoleh mata sejak pusingan di Republik Czech, Ogos lalu apabila memberikan tunggangan terpuji di Grand Prix (GP) Thailand hari ini. 

Bermula dari petak ke-18 di Litar Buriram, Hafizh berjaya melonjak dan melintasi garisan penamat di tempat ke-12. 

Pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pescao itu ketinggalan 17.691 saat (s) di belakang juara, Marc Marquez yang mencatat masa 39 minit 55.722s untuk memperoleh empat mata. 

Paling penting, dia muncul pelumba baharu terbaik minggu ini dengan mengetepikan pendahulu keseluruhan Franco Morbidelli yang menamatkan saingan di tempat ke-14.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu mengakui dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan suhu jentera pada awal perlumbaan. 

"Saya sangat gembira kerana kembali dapat meraih mata. Pada awal hujung minggu ini, bermula dari sesi latihan bebas pertama hingga ujian masa, saya sentiasa menghuni tempat ke-18 dan sedikit kecewa. Bagaimanapun, saya tidak berputus asa. 

"Saya bekerja keras dengan pasukan dan mereka mempercayai saya, di mana saya sangat memerlukannya. Pada awal perlumbaan, jentera saya terlalu panas. 

"Suhu minyak terlalu panas dan saya tidak merasai kekuatan jentera saya. Saya cuba untuk menyesuaikan diri dan mencari jalan untuk menyelesaikannya. Saya mengambil keputusan untuk tidak menghampiri pelumba lain dengan terlalu dekat. 

"Pada awalnya saya berjaya memintas Takaaki Nakagami dan merasakan mampu untuk mengejar Morbidelli, akhirnya saya berjaya mengatasinya dan cuba untuk mengekalkan rentak tunggangan.” 

Morbidelli masih lagi mendahului kedudukan keseluruhan pelumba baharu terbaik dengan 33 mata namun Hafizh ketinggalan lima mata. 

"Saya masih perlu bekerja keras untuk pusingan seterusnya dan cuba untuk merapatkan jurang dengan Morbidelli," kata Hafizh. 

Dalam saingan Moto2, pelumba Finland, Niki Tuuli (PETRONAS Sprinta Racing) beraksi cemerlang untuk meraih mata pertamanya selepas menduduki tempat ke-15, manakala Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) di tempat ke-21. 

Adam Norrodin (PETRONAS Sprinta Racing) juga berjaya meraih mata dalam perlumbaan Moto3 apabila menduduki tempat ke-15, manakala rakan sepasukannya, Ayumi Sasaki terbabit dalam kemalangan dan gagal menamatkan saingan. 

Perlumbaan seterusnya ialah di Litar Motegi, Jepun yang akan berlangsung dari 19 hingga 21 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 7:24 PM