PEMAIN Manchester City, Kevin de Bruyne (kiri), Gareth Bale dari Real Madrid dan Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker. FOTO Agensi
AFP

PARIS: Penyerang Real Madrid dan Wales, Gareth Bale serta perancang Manchester City, Kevin De Bruyne tersenarai dalam 10 pencalonan pertama bagi anugerah Ballon d'Or yang diumumkan, hari ini.

Bale yang menjaringkan dua gol ketika final Liga Juara-Juara menewaskan Liverpool menyertai rakan sepasukannya, Karim Benzema dalam senarai pertama daripada 30 pencalonan bagi anugerah pemain terbaik berkenaan.

Pemain tengah Belgium, De Bruyne dicalonkan selepas membantu kelabnya menjuarai Liga Perdana Inggeris dan menjadi antara tonggak negaranya yang mara ke separuh akhir Piala Dunia di Russia.

Pemenang bagi anugerah berprestij yang dianjurkan majalah France Football ini akan diumumkan pada 3 Disember depan.

Selepas tewas bagi perebutan anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) kepada bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Luka Modric, Cristiano Ronaldo juga disenarai pendek.

Penyerang Juventus itu yang ketika ini berdepan tuduhan rogol pada 2009 dan menafikan jenayah berkenaan sudah pun memenangi anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali selain penyandang anugerah.

Penyerang Manchester City, Sergio Aguero juga disenarai pendek bersama seorang lagi penyerang prolifik Amerika Selatan,  Edinson Cavani dari Uruguay dan beraksi untuk kelab Paris Saint-Germain.

Dua penjaga gol turut disenarai iaitu Thibaut Courtois (Belgium/Real Madrid) dan Alisson Becker (Liverpool/Brazil).

Rakan senegaranya Alisson, Roberto Firmino turut tersenarai bersama pertahanan kental Uruguay dan Atletico Madrid, Diego Godin.

Buat pertama kali, anugerah Ballon d'Or bagi kategori wanita turut dipertandingkan pada tahun ini dengan calon-calonnya akan diumumkan lewat hari ini.

Turut dipertandingkan buat pertama kali adalah bagi anugerah bawah 21 tahun yang akan menerima trofi Kopa dengan penyerang Perancis dan Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe antara calon pilihan.

Anugerah Ballon d'Or yang pertama kali dimenangi pemain dari Inggeris, Stanley Matthews pada 1956 diputuskan dalam undian di kalangan wartawan di seluruh dunia.

10 CALON PERTAMA BALLON D'OR

Sergio Aguero

Alisson Becker 

Gareth Bale 

Karim Benzema 

Edinson Cavani

Thibaut Courtois

Cristiano Ronaldo

Kevin De Bruyne

Roberto Firmino 

Diego Godin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:14 PM