Firdaus Hashim


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memandang serius kemelut dalaman Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berhubung desakan untuk mengadakan Mesyuarat Luar Biasa (EGM) bagi memilih Exco baharu terutama dua jawatan naib presiden.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pihaknya sudah menerima dua pucuk surat daripada ahli gabungan FAS yang menuntut badan induk bola sepak negara itu mencari jalan penyelesaian berhubung isu dibangkitkan.

Bagaimanapun, Stuart menjelaskan pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada FAS mengenai rungutan ahli gabungan itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kami (FAM) ada menerima dua surat, dengan yang pertama dua minggu lalu manakala satu lagi dua tiga hari lalu.

“Oleh kerana FAS adalah ahli gabungan FAM, kami memandang serius terhadap isu membabitkan kemelut dalaman persatuan itu.

“Bukan saja FAM, saya percaya AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan FIFA juga akan mengambil serius perkara seperti ini jika berlaku. Jadi, daripada awal lagi sejak isu ini mula timbul, saya sudah berhubung rapat dengan FAS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga meminta Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon untuk menyediakan laporan mengenai tuntutan ahli gabungan mereka. “Adakah benar separuh ahli gabungan menuntut diadakan EGM dan adakah benar pelantikan naib presiden itu tidak mengikut Statut FAS.

“Saya mungkin terima laporan penuh dalam masa terdekat ini. Jika semua dakwaan itu benar, FAS perlu berikan tarikh untuk memanggil EGM. Tapi sekiranya semua tuduhan itu tidak benar, maka tidak perlu diadakan EGM,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman mengesahkan pihaknya turut menerima petisyen daripada kelab gabungan FAS untuk mengadakan EGM.

“Ya, kami ada menerimanya. Tapi saya perlu meneliti Statut FAS terlebih dulu sebelum boleh membuat apa-apa komen,” katanya. 

Berdasarkan Statut FAS, sesuatu EGM itu boleh dipanggil sekiranya meraih sokongan 50 peratus daripada 96 ahli gabungan FAS, dengan ketika ini difahamkan 67 daripadanya sudah menyatakan sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 9:55 PM